Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Jerebu: 36 stesen rekod IPU tidak sihat, kualiti udara utara Semenanjung merosot

61681701322_GeorgeTownJerebu.jpg
Kualiti udara di Pulau Pinang turut merosot apabila Balik Pulau mencatatkan bacaan IPU 143 berbanding 132 pada 6 petang tadi. -Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Keadaan jerebu di bahagian utara Semenanjung bertambah buruk apabila stesen pemantauan udara di Sungai Petani, Kedah mencatatkan peningkatan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) malam ini.

Menurut data terkini daripada Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS), Sungai Petani merekodkan peningkatan daripada IPU 112 kepada 127.

Kualiti udara di Pulau Pinang turut merosot apabila Balik Pulau mencatatkan bacaan IPU 143 berbanding 132 pada 6 petang tadi.

Sementara itu, Paka merekodkan bacaan IPU 99 berbanding 97 sebelumnya, sekali gus menghampiri kategori tidak sihat.

Bagi kawasan yang mencatatkan bacaan tertinggi, Johan Setia di Selangor terus merekodkan IPU tertinggi negara pada paras 178.

Sebaliknya, stesen Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian, Sarawak mencatatkan sedikit penurunan kepada IPU 171, membolehkan Nilai, Negeri Sembilan dan Bandaraya Melaka merekodkan bacaan lebih tinggi iaitu IPU 175.

Status kualiti udara nasional yang dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) menunjukkan jumlah stesen pada tahap tidak sihat kekal sebanyak 36 stesen, manakala 27 stesen berada dalam kategori sederhana.

Bagaimanapun, hanya empat stesen kekal dalam kategori baik, iaitu Limbang dan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri di Sarawak yang masing-masing merekodkan IPU 27, diikuti Kota Kinabalu, Sabah (38) dan Miri, Sarawak (42).

Bacaan IPU antara sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat, manakala bacaan melebihi 300 berada pada tahap berbahaya.

Orang ramai dinasihatkan mengehadkan aktiviti luar, menutup tingkap rumah serta memakai pelitup muka yang sesuai, termasuk N95, bagi mengurangkan pendedahan kepada zarah halus PM2.5 yang boleh menjejaskan kesihatan pernafasan.

Must Watch Video

Advertisement