KUALA LUMPUR: ASEAN perlu mempertimbangkan klausa liabiliti dalam Perjanjian Jerebu Rentas Sempadan bagi membolehkan tindakan perundangan dan tuntutan pampasan dipertimbangkan terhadap syarikat yang bertanggungjawab menyebabkan pencemaran jerebu rentas sempadan.
Profesor Emeritus, Institut Sains Bumi dan Samudera dan Jabatan Geograf Universiti Malaya (UM), Profesor Datuk Azizan Abu Samah berkata, klausa itu penting bagi memperkukuh keberkesanan perjanjian berkenaan dalam menangani masalah jerebu yang berulang di rantau ini.
Beliau berkata klausa liabiliti boleh menyediakan mekanisme bagi negara terjejas mengambil tindakan terhadap pihak yang menyebabkan pencemaran, termasuk menuntut pampasan atas kerugian yang dialami.
"Apabila ada klausa liabiliti, ia akan menguatkan perjanjian tersebut kerana terdapat kaedah untuk negara yang terjejas mengambil langkah perundangan, termasuk membawa perkara itu ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), bergantung pada mekanisme yang dipersetujui.
"Kita bukan sahaja melihat kerugian dari segi kemusnahan hutan, malah kerugian tidak langsung seperti penutupan sekolah, gangguan pekerjaan dan kos rawatan bagi mereka yang menghidap asma akibat jerebu," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Azizan berkata Malaysia, yang dijangka mempengerusikan Sub-Regional Haze Committee ASEAN tahun depan, boleh mengambil peluang itu untuk memulakan perbincangan mengenai cadangan berkenaan.
Beliau menambah, Protokol Madrid berkaitan perlindungan alam sekitar Antartika boleh dijadikan rujukan kerana ia turut merangkumi usaha membangunkan mekanisme liabiliti.
Bagaimanapun, beliau berkata proses menggubal klausa liabiliti bukan mudah kerana setiap negara perlu mempertimbangkan kepentingan masing-masing.
"Memang ia bukan sesuatu yang boleh diselesaikan dalam masa sehari, tetapi sekurang-kurangnya kita perlu memulakan perbincangan. Apabila klausa liabiliti dimasukkan, perjanjian itu akan menjadi lebih kukuh dan bukan sekadar satu komitmen di atas kertas," ujarnya lagi.
Mengulas keberkesanan Perjanjian Jerebu Rentas Sempadan ASEAN, Azizan berkata kejadian jerebu yang berulang ketika fenomena El Nino, menunjukkan keperluan untuk memperkukuh mekanisme pelaksanaan perjanjian itu.
Beliau berkata tanpa mekanisme liabiliti yang jelas, usaha ASEAN lebih tertumpu kepada kerjasama, bantuan dan nasihat, sedangkan tindakan terhadap syarikat yang melakukan pembakaran terbuka masih menjadi cabaran.
Sehubungan itu, beliau menegaskan ASEAN perlu memperkukuh pendekatan menangani jerebu, termasuk meneroka mekanisme akauntabiliti yang lebih berkesan bagi mengurangkan risiko kejadian berulang.
Semalam, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup memaklumkan fenomena El Nino yang diramal meningkat kepada kategori sangat kuat atau Super El Nino mulai Oktober hingga Januari 2027 berpotensi memburukkan keadaan jerebu, selain meningkatkan risiko kemarau di negara ini.