KUCHING: Keadaan kualiti udara di Serian menghampiri status 'darurat' pagi ini apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang diserap stesen Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian mencecah 471 sekitar jam 6 pagi.
Berdasarkan cerapan Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS), tiga lagi stesen yang dikategorikan berbahaya ialah Samarahan (326), Kuching (319) dan Sri Aman (323).
Tiga lagi kawasan di tengah Sarawak, iaitu Sarikei, Sibu dan Mukah masing-masing mencerap bacaan 259, 216 dan 213, sekali gus berada dalam kategori amat tidak sihat.
Sementara itu, stesen Miri merekodkan bacaan 170; stesen ILP Miri 167; Bintulu 166, Kapit 164 dan Limbang 159, untuk berada dalam kategori tidak sihat.
Ketika ini seluruh Sarawak berhadapan situasi jerebu rentas sempadan, dipercayai akibat pembakaran hutan dan ladang dari negara jiran.
Situasi ini diburukkan lagi dengan fenomena Super El-Nino yang menyebabkan keadaan panas dan kering berterusan, dengan beberapa kawasan sudah berhadapan isu kekurangan dan kekontangan air.
Difahamkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak akan bermesyuarat pada jam 8.30 pagi ini untuk membincangkan langkah seterusnya bagi menghadapi situasi getir ini.
Pada Ahad, Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas menerusi satu kenyataan memaklumkan, Sarawak bersedia mengisytiharkan darurat jika pencemaran udara akibat jerebu mencapai tahap kritikal.
Ini berdasarkan garis panduan sedia ada, jika IPU melebihi 500, pejabat sektor awam serta swasta boleh ditutup, kecuali perkhidmatan penting, sementara menunggu pengisytiharan darurat bencana oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Kebangsaan.
Sehingga lewat petang semalam, tinjauan Astro AWANI mendapati stok topeng muka mula berkurangan terutamanya di kawasan Serian, Samarahan dan Kuching.