Skip to main content

Politik

[TERKINI] PRN Melaka: Adly akui cabaran sengit, serah pengundi nilai khidmat lapan tahun

Adly berkata, jika diberikan mandat, fokus utama adalah untuk lengkapkan pendidikan digital untuk anak-anak di DUN Bukit Katil termasuk kepada golongan usahawan. - Astro AWANI
Adly berkata, jika diberikan mandat, fokus utama adalah untuk lengkapkan pendidikan digital untuk anak-anak di DUN Bukit Katil termasuk kepada golongan usahawan. - Astro AWANI

Advertisement

Advertisement

BUKIT KATIL: Kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) diakui memberi cabaran kepada penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil.

Calon Pakatan Harapan (PH), Adly Zahari berkata, beliau tidak memandang ringan persaingan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 kali ini terutama dengan kehadiran calon Parti Bersama dan Bebas.

Bagaimanapun, bekas Ketua Menteri Melaka itu menyerahkan kepada pengundi untuk menilai rekod perkhidmatannya sepanjang lapan tahun, termasuk ketika menerajui pentadbiran negeri selama 22 bulan.

Advertisement

"Memang saya tak nafikan bahawa model politik yang kita hadapi berbeza-beza. Ini penggal ketiga saya menyertai pilihan raya dan memang ini antara cabaran yang agak kuat juga.

"Kita telah memberikan khidmat selama lapan tahun dan kita pun pernah menjadi kerajaan 22 bulan, jadi kita memang menyerahkan kepada rakyat untuk menilai segala usaha yang telah kita buat," katanya.

Advertisement

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas proses penamaan calon DUN Bukit Katil di Dewan Tun Ali, di sini, hari ini.

Adly yang juga Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) berharap pengundi memberinya peluang untuk meneruskan khidmat bagi penggal ketiga.

Menurutnya, masih terdapat beberapa perancangan yang belum disempurnakan, termasuk pembangunan pendidikan digital dan kemudahan kesihatan.

Katanya, pendidikan digital khususnya kepada golongan muda dan usahawan akan menjadi keutamaan sekiranya diberikan mandat sekali lagi.

"Kalau saya diberikan mandat, memang fokus utama saya adalah untuk lengkapkan pendidikan digital untuk anak-anak kita di DUN Bukit Katil termasuk kepada usahawan-usahawan kita.

"Kita juga sedang berusaha untuk melengkapkan poliklinik kesihatan kita. Kita sudah dapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan, kita sudah mendapatkan bajet," katanya.

Sementara itu, Adly berkata, jentera PH akan memanfaatkan tempoh kempen selama 14 hari untuk meraih sokongan pengundi di 24 kerusi DUN yang ditandingi gabungan itu.

Beliau berdepan pertandingan empat penjuru menentang Mohd Ridzuan Mohd Shariff daripada Pas yang mewakili PN, Dr Aliza Che Amran daripada Parti Bersama serta calon Bebas, Abu Bakar Sabudin.

SPR menetapkan 14 November sebagai hari pengundian bagi PRN Melaka ke-16.


 

Must Watch Video

Advertisement