Ringkasan AI
- Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Cheras menurun kepada 111, namun 14 kawasan masih merekodkan tahap Tidak Sihat setakat 7 malam.
- Johor mencatatkan bacaan IPU tertinggi di negara ini, dengan Larkin dan Pasir Gudang masing-masing pada 174, diikuti beberapa kawasan lain di Pantai Timur dan Pahang.
- KKM dan JAS menasihati penduduk terjejas, khususnya di Johor dan Pantai Timur, supaya mengurangkan aktiviti luar dan memakai pelitup muka jika perlu berada di luar.
KUALA LUMPUR: Keadaan jerebu di Lembah Klang menunjukkan perkembangan positif menjelang malam apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Cheras mencatatkan penurunan ketara, meskipun jumlah kawasan yang merekodkan bacaan Tidak Sihat di seluruh negara kekal sebanyak 14 setakat 7 malam ini.
Berdasarkan data portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) kendalian Jabatan Alam Sekitar (JAS), stesen Cheras di Kuala Lumpur mencatatkan penurunan 26 mata kepada bacaan 111 berbanding 137 pada jam 5 petang, menghampiri kategori Sederhana.
Bagaimanapun, keadaan di Pantai Timur menunjukkan trend sebaliknya apabila Kuala Terengganu terus mencatatkan peningkatan kepada 164, sekali gus merekodkan bacaan tertinggi di luar Johor.
Rompin, Pahang turut merekodkan peningkatan ketara apabila bacaan IPU naik 17 mata kepada 154.
Di Johor, Larkin dan Pasir Gudang masing-masing mencatatkan bacaan 174, iaitu tertinggi di negara ini. Kawasan lain yang masih merekodkan bacaan tinggi termasuk Kota Tinggi (166), Pengerang (159), Kluang (157), Tangkak (157), Segamat (156) dan Batu Pahat (155).
Di Pantai Timur, Kemaman mencatatkan bacaan 159, diikuti Balok Baru di Kuantan, Pahang (157) dan Paka, Terengganu (155).
Sementara itu, kualiti udara di kebanyakan kawasan Pantai Barat kekal dalam kategori Sederhana. Seremban merekodkan bacaan 97, manakala Nilai mencatatkan bacaan 95, diikuti Port Dickson (76) dan Banting (59).
Di Selangor, Shah Alam merekodkan bacaan 75, manakala Klang dan Petaling Jaya masing-masing mencatatkan bacaan 74 dan 71.
Di Sarawak, kualiti udara kekal dalam kategori Sederhana termasuk di Miri yang mencatatkan bacaan 97 dan Kuching (81).
Sebanyak lima stesen berada dalam kategori Baik, diterajui Balik Pulau, Pulau Pinang dengan bacaan terendah negara iaitu 31. Ia diikuti Langkawi, Kedah (32), Minden, Pulau Pinang (43), Kulim Hi-Tech, Kedah (44) dan Kangar, Perlis (45).
Secara keseluruhan, daripada 68 stesen pemantauan kualiti udara yang beroperasi di seluruh negara, sebanyak 14 stesen berada pada tahap Tidak Sihat (101 hingga 200), 48 stesen pada tahap Sederhana (51 hingga 100) dan lima stesen pada tahap Baik (0 hingga 50).
KKM dan JAS terus menasihati orang ramai, khususnya penduduk di Johor dan Pantai Timur yang masih terjejas akibat jerebu, supaya mengurangkan aktiviti luar serta memakai pelitup muka yang sesuai sekiranya perlu berada di kawasan terbuka.
Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
- Q: Berapakah jumlah kawasan yang merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) Tidak Sihat setakat 7 malam?
A: Sebanyak 14 kawasan di seluruh negara merekodkan bacaan IPU Tidak Sihat setakat 7 malam. - Q: Apakah perkembangan terkini bacaan IPU di Cheras, Kuala Lumpur?
A: Bacaan IPU di Cheras menurun 26 mata kepada 111 berbanding 137 pada jam 5 petang, menghampiri kategori Sederhana. - Q: Kawasan manakah yang mencatatkan bacaan IPU tertinggi di Malaysia?
A: Larkin dan Pasir Gudang di Johor masing-masing mencatatkan bacaan IPU tertinggi iaitu 174. - Q: Berapakah jumlah stesen pemantauan kualiti udara yang beroperasi dan pecahan kategori bacaan IPU di seluruh negara?
A: Terdapat 68 stesen pemantauan kualiti udara; 14 stesen pada tahap Tidak Sihat, 48 stesen pada tahap Sederhana, dan lima stesen pada tahap Baik. - Q: Apakah nasihat KKM dan JAS kepada orang ramai yang terjejas akibat jerebu?
A: KKM dan JAS menasihati orang ramai, khususnya di Johor dan Pantai Timur, supaya mengurangkan aktiviti luar dan memakai pelitup muka yang sesuai jika perlu berada di kawasan terbuka.