KUALA LUMPUR: Golongan Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan kini berpeluang mengenali spesies pokok hutan terancam di Malaysia melalui sentuhan menerusi penghasilan buku taktil serta Braille hasil kerjasama Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Buku bertajuk Sentuhan Rimba: Mengenali Biji Benih Spesies Hutan yang Terancam di Malaysia itu dihasilkan menerusi projek Touch2Read, menggabungkan ilustrasi taktil dan tulisan Braille bagi membolehkan pembaca meneroka ciri-ciri fizikal biji benih serta mengenali kepelbagaian spesies hutan negara.
Ketua Pengarah FRIM Datuk Dr Ismail Parlan berkata inisiatif itu mencerminkan usaha berterusan untuk memastikan khazanah hutan negara dapat dirasai dan dihayati oleh semua pihak termasuk golongan OKU penglihatan.
“Usaha ini turut mencerminkan kepentingan memastikan golongan OKU penglihatan tidak terpinggir daripada peluang mempelajari kepelbagaian tumbuhan hutan termasuk mengenali struktur biji benih melalui sentuhan,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran buku berkenaan di sini semalam.
Bagi menyokong penghasilan buku berkenaan, FRIM membekalkan sampel biji benih sebenar kepada pihak Touch2Read UIAM sebagai bahan rujukan utama dalam penyediaan ilustrasi taktil.
Buku itu mengetengahkan tujuh spesies pokok hutan terancam di Malaysia, dilengkapi maklumat mengenai ciri-ciri fizikal biji benih, maklumat botani serta kegunaan pokok.
Ismail berkata FRIM bersedia meneruskan kerjasama dengan pelbagai pihak bagi menyokong inisiatif seumpama itu yang memberikan manfaat kepada golongan OKU penglihatan.
“Kami sudi dan sedia untuk bersama meneruskan mungkin 3.0 atau 4.0 bagi memastikan FRIM dapat menyumbang kepada rakan-rakan kita yang OKU,” katanya.
Pada majlis itu, mahasiswa OKU penglihatan UIAM turut berpeluang meneroka kawasan Arboretum Dipterokarpa FRIM melalui aktiviti menyentuh dan menghidu tumbuhan bagi mengenali ciri-ciri alam semula jadi.
Bagi Farhan Azkalwafa Sufyan, 25, aktiviti sedemikian membantu golongan OKU penglihatan seperti beliau mengenali tumbuhan dengan lebih dekat melalui deria sentuhan dan pendengaran.
“Kita kan sense daripada bunyi dan taktil... jadi, aktiviti seperti menyentuh pokok dan daun membuatkan kita lebih mudah mengetahui dan mengenali jenis-jenis pokok di dalam hutan,” kata pelajar program Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) itu.
Pada majlis itu, poster simbolik turut diserahkan kepada wakil komuniti, agensi dan rakan strategik yang terlibat termasuk KL Braille Resources Sdn Bhd, Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas Setapak, Persatuan Orang Buta Malaysia, Perpustakaan Negara dan Bank Islam Malaysia Bhd.
-- BERNAMA