Skip to main content

Malaysia

Jerebu: Elak aktiviti luar, pakai pelitup muka

Sumber: BERNAMA
Len Talif mengingatkan masyarakat supaya sentiasa peka dengan pengumuman rasmi dan laporan IPU harian, di samping memastikan pendedahan terhadap pencemaran udara berada pada tahap paling minimum sepanjang tempoh kritikal ini. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

KUCHING: Orang ramai khususnya ibu bapa digesa mengurangkan aktiviti fizikal di luar rumah sepanjang musim cuti sekolah, bagi memelihara kesihatan anak-anak dan keluarga susulan kualiti udara yang semakin merosot, akibat fenomena jerebu rentas sempadan.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak Datuk Len Talif Salleh berkata langkah berwaspada perlu diambil, terutamanya bagi golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga emas serta individu yang menghidap penyakit kronik dan masalah pernafasan.

“Nasihat ini bukan untuk anak-anak saja, tapi untuk kesemua kita, terutamanya Indeks Pencemar Udara (IPU) kini mencapai 300 ke 400 (tahap bahaya). Kita nasihatkan supaya berjaga-jaga dan juga memakai pelitup muka.

“Kita sarankan mereka yang berisiko tinggi dan warga emas supaya mengambil tindakan terbaik untuk memastikan kesihatan terjaga, menggunakan pelitup muka dan kurangkan aktiviti di luar rumah,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Len Talif turut mengingatkan masyarakat supaya sentiasa peka dengan pengumuman rasmi dan laporan IPU harian, di samping memastikan pendedahan terhadap pencemaran udara berada pada tahap paling minimum sepanjang tempoh kritikal ini.

Timbalan Pengerusi Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB) itu berkata trend peningkatan IPU, berpunca daripada titik panas di kawasan Kalimantan serta keadaan cuaca kering yang dijangka boleh berlarutan hingga hujung tahun ini, sekali gus meletakkan Sarawak dalam keadaan berjaga-jaga.

“Untuk pelaksanaan operasi pembenihan awan, seperti yang kerajaan negeri maklumkan sebelum ini, kita akan buat awal September dan masih menilai sama ada proses itu perlu dipercepatkan dengan meneliti impak jerebu semasa,” katanya.

Kualiti udara di beberapa kawasan di Sarawak mencatatkan penurunan ketara dengan kawasan Serian, Samarahan dan Kuching mencatatkan bacaan IPU tahap bahaya, setakat 12.30 tengah hari tadi.

Menurut portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS), bacaan IPU di stesen pemantauan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian mencecah 412, diikuti Samarahan (332) dan Kuching (304).

Selain itu, Sri Aman merekodkan bacaan IPU pada tahap sangat tidak sihat iaitu 228.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement