KUALA LUMPUR: Kerajaan Indonesia tidak harus menafikan dakwaan bahawa jerebu rentas sempadan berpunca daripada kebakaran hutan dan tanah di negara berkenaan.

Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Dr Hazland Abang Hipni, berkata data daripada Pusat Meteorologi Khas Asean (ASMC) mengesan 2,203 titik panas di sekitar Kalimantan berbanding hanya empat di Sarawak.

Memetik laporan Borneo Post, Dr Hazland menambah titik panas berkenaan dikesan bagi tempoh 20 hingga 28 September lalu.

"Kami mempunyai statistik menunjukkan terdapat empat titik panas dikesan di Sarawak, manakala 2,203 titik panas dikesan di Kalimantan bagi tempoh 20 hingga 28 September.

"Ini adalah data daripada ASMC, bukan dari Malaysia. Jadi bagaimana mereka boleh menafikan situasi seperti ini?" katanya memetik laporan portal tersebut.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Alam Sekitar dan Perhutanan Indonesia, Siti Nurbaya Bakar, menafikan dakwaan bahawa situasi jerebu di Malaysia berpunca daripada kebakaran hutan dan tanah di negara itu.

Mengulas lanjut, Dr Hazland berkata isu jerebu rentas sempadan dijangka dibincangkan dalam mesyuarat Kerjasama Sosio-Ekonomi Malaysia-Indonesia (SOSEK Malindo) akan datang.

Jelas beliau, perbincangan tersebut dijadual diadakan dalam beberapa bulan akan datang dan mencadangkan beberapa perkara termasuk berkaitan isu alam sekitar melibatkan Malaysia dan Indonesia.

Setakat pukul 1 tengah hari tadi, laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) melaporkan dua kawasan di Sarawak merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidap sihat.

Dua kawasan tersebut ialah Sri Aman (122) dan IPD Serian (101).