KUALA LUMPUR: Keadaan jerebu di Sarawak terus menunjukkan pemulihan apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Samalaju menurun kepada 118 setakat jam 3 petang, namun kawasan itu kekal satu-satunya lokasi di negara ini yang mencatat tahap tidak sihat.
Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), bacaan IPU di Samalaju turun daripada 136 pada jam 2 petang kepada 118 sejam kemudian, sekali gus semakin menghampiri kategori sederhana.
Di Sarawak, semua stesen pemantauan lain kekal dalam kategori sederhana dengan Bintulu merekodkan bacaan tertinggi pada 93, diikuti IPD Serian (82), Samarahan (78), Sri Aman (77), Sibu (75), Kuching (75), Sarikei (70) dan Mukah (63).
Di Semenanjung, kualiti udara berada pada tahap baik dan sederhana. Batu Muda di Kuala Lumpur merekodkan bacaan tertinggi dalam kategori sederhana iaitu 88, diikuti Kluang (87) dan Batu Pahat (85) di Johor.
Seremban mencatat bacaan 71, manakala Johan Setia merekodkan bacaan 69. Nilai pula menunjukkan peningkatan kualiti udara dengan bacaan 59.
Tanah Merah di Kelantan memasuki kategori sederhana dengan bacaan 51.
Bagi kawasan yang berada dalam kategori baik, Temerloh dan Indera Mahkota Kuantan di Pahang masing-masing merekodkan bacaan 49, diikuti Kuala Selangor dan Banting di Selangor dengan bacaan 48.
Secara keseluruhan, Langkawi di Kedah dan Balik Pulau di Pulau Pinang mencatat kualiti udara terbaik di negara ini dengan masing-masing merekodkan bacaan IPU 17.