Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Jerebu: IPU Serian kekal tertinggi, kualiti udara semakin merosot

Sumber: Astro AWANI
Menurut data terkini daripada Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS), stesen pemantauan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian, Sarawak terus mencatatkan bacaan tertinggi negara iaitu IPU 174. -Gambar fail/Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Keadaan jerebu di seluruh negara terus merosot apabila 32 stesen pemantauan udara merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat 1 tengah hari ini.

Menurut data terkini daripada Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS), stesen pemantauan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian, Sarawak terus mencatatkan bacaan tertinggi negara iaitu IPU 174.

Trend peningkatan turut dikesan di Semenanjung apabila Nilai, Negeri Sembilan; Bandaraya Melaka; serta Larkin dan Pasir Gudang di Johor masing-masing merekodkan bacaan IPU 172.

Kawasan tumpuan penduduk di Lembah Klang juga menunjukkan kualiti udara yang membimbangkan, dengan Johan Setia di Selangor mencatatkan IPU 171, manakala Cheras di Kuala Lumpur dan Shah Alam di Selangor masing-masing merekodkan IPU 167.

Kemerosotan berterusan itu turut menyaksikan Kuala Terengganu mencatatkan bacaan IPU 116, sekali gus kekal dalam kategori tidak sihat.

Status kualiti udara nasional yang dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) menunjukkan kemerosotan berterusan apabila baki stesen pemantauan berada dalam kategori sederhana, manakala hanya enam stesen masih berada dalam kategori baik.

Limbang, Sarawak merekodkan bacaan IPU terendah negara iaitu 26, diikuti Kota Kinabalu, Sabah (31) dan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri, Sarawak (32).

Orang ramai dinasihatkan mengehadkan aktiviti luar, menutup tingkap rumah serta memakai pelitup muka yang sesuai, termasuk N95, bagi mengurangkan pendedahan kepada zarah halus PM2.5 yang boleh menjejaskan kesihatan pernafasan.

Must Watch Video

Advertisement