KUALA LUMPUR: Keadaan jerebu di Sarawak menunjukkan trend penurunan berterusan, namun Serian kekal berada dalam kategori sangat tidak sihat dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 208 setakat jam 2 petang ini.
Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), bacaan IPU di Serian menurun dua mata berbanding 210 pada jam 1 tengah hari tadi. Bagaimanapun, kawasan itu masih menjadi satu-satunya lokasi di negara ini yang mencatatkan bacaan melebihi 200.
Bagi kategori tidak sihat, lapan stesen lain di Sarawak turut menunjukkan sedikit penurunan berbanding sejam sebelumnya, didahului Kuching dengan bacaan 192, diikuti Samarahan (183), Sri Aman (170), Bintulu (164), Samalaju (157), Sibu (157), Sarikei (157) dan Kapit (125).
Sementara itu, kualiti udara di Bukit Rambai, Melaka kembali bertambah baik apabila stesen berkenaan merekodkan bacaan sederhana iaitu 99, sama dengan bacaan yang direkodkan di Mukah, Sarawak.
Di Lembah Klang, kualiti udara kekal pada tahap sederhana dengan Shah Alam mencatatkan bacaan 83, diikuti Cheras (82), Johan Setia (81), Batu Muda (76), Banting (76), Petaling Jaya (75), Klang (72), Kuala Selangor (69) dan Putrajaya (70).
Beberapa bandar utama lain di seluruh negara turut merekodkan kualiti udara sederhana termasuk Miri (91), Labuan (89), Batu Pahat (89), Politeknik Kota Kinabalu (87), Nilai (84), Pasir Gudang (84), Larkin (82), Seremban (79), Bandaraya Melaka (78) dan Alor Gajah (77).
Dalam perkembangan sama, bilangan stesen yang mencatatkan kualiti udara pada tahap baik meningkat kepada 11 di seluruh negara selepas Minden di Pulau Pinang, Kemaman di Terengganu serta Jerantut dan Temerloh di Pahang merekodkan bacaan 50 dan ke bawah.
Langkawi terus mencatatkan kualiti udara terbaik negara dengan bacaan IPU 21, diikuti Besut (22), Kangar (23), Tanah Merah (30), Alor Setar (44), Balik Pulau (47) dan Paka (47).
Bacaan IPU sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 301 ke atas (berbahaya).
Orang ramai di kawasan yang mencatatkan bacaan tidak sihat dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar, memperbanyakkan pengambilan air dan memakai pelitup muka yang sesuai bagi mengurangkan kesan jerebu terhadap kesihatan pernafasan.