Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Jerebu: IPU Serian turun kepada 210, kekal satu-satunya kawasan sangat tidak sihat

SERIAN, 11 Ogos -- Pemandangan berjerebu dirakam di bandar Serian yang terletak kira-kira 60 kilometer dari bandaraya Kuching, hari ini.  Kualiti udara di Serian yang berdekatan dengan sempadan Malaysia-Indonesia semakin meningkat dengan indeks pencemaran udara (IPU) kian menghampiri tahap tidak sihat iaitu 190.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), bacaan di Serian menurun satu mata berbanding 211 yang direkodkan pada jam 12 tengah hari tadi. -Foto fail/Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Keadaan jerebu di Sarawak menunjukkan sedikit peningkatan, namun Serian terus berada pada tahap sangat tidak sihat dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 210 setakat jam 1 tengah hari ini.

Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), bacaan di Serian menurun satu mata berbanding 211 yang direkodkan pada jam 12 tengah hari tadi.

Bagaimanapun, kawasan itu kekal menjadi satu-satunya stesen di negara ini yang mencatatkan bacaan melebihi 200.

Bagi kategori tidak sihat, trend penurunan kecil dikesan di beberapa kawasan di Sarawak, namun lapan stesen masih berada dalam kategori berkenaan.

Kuching merekodkan bacaan 193, manakala Samarahan mencatatkan bacaan 185, diikuti Sri Aman (170), Bintulu (166), Samalaju (158), Sibu (158), Sarikei (157) dan Kapit (121).

Sementara itu, Mukah menunjukkan peningkatan kualiti udara apabila kembali berada dalam kategori sederhana dengan bacaan 99.

Di Melaka, stesen Bukit Rambai pula kembali mencatatkan bacaan 100, iaitu had maksimum kategori sederhana sebelum memasuki tahap tidak sihat.

Di Lembah Klang, majoriti stesen kekal berada pada tahap sederhana dengan Cheras dan Shah Alam masing-masing mencatatkan bacaan 81, diikuti Johan Setia (80), Banting (76), Batu Muda (75), Petaling Jaya (75), Klang (71), Kuala Selangor (69) dan Putrajaya (69).

Beberapa bandar lain di seluruh negara turut mengekalkan status sederhana termasuk Miri (94), Labuan (91), Batu Pahat (90), Politeknik Kota Kinabalu (90), Nilai (86), Pasir Gudang (85), Larkin (83), Seremban (80), serta Alor Gajah dan Bandaraya Melaka yang masing-masing mencatatkan bacaan 79.

Dalam pada itu, lapan stesen pemantauan di negara ini merekodkan kualiti udara pada tahap baik dengan Langkawi mencatatkan bacaan terendah iaitu 21, diikuti Besut (23), Kangar (23), Tanah Merah (30), Alor Setar (43), Temerloh (46), Balik Pulau (47) dan Paka (50), yang masih berada dalam kategori baik.

Bacaan IPU sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 301 ke atas (berbahaya).

Orang ramai di kawasan yang mencatatkan bacaan tidak sihat dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar, memperbanyakkan pengambilan air dan memakai pelitup muka yang sesuai bagi mengurangkan kesan jerebu terhadap kesihatan pernafasan.

Must Watch Video

Advertisement