Skip to main content

Malaysia

Jerebu: Isytihar darurat di kawasan IPU 500 dibincang dengan kerajaan Sarawak - PM Anwar

KUALA LUMPUR, 4 Sept - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab pertanyaan pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Bukit Indah hari ini. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Anwar berkata beliau sudah menghubungi Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg bagi membincangkan perkara berkenaan dua hari lepas. - Foto BERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Tindakan lanjut termasuk pengisytiharan darurat bencana susulan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) melebihi 500 di Serian akan dibincangkan dengan Kerajaan Negeri Sarawak, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata beliau sudah menghubungi Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg bagi membincangkan perkara berkenaan dua hari lepas.

Pada masa sama, beliau memberi jaminan langkah keselamatan sewajarnya termasuk menghentikan operasi pejabat dan sekolah akan dilaksanakan, kecuali  agensi kritikal, jika darurat diisytiharkan susulan bacaan IPU yang semakin buruk.

“Kita akan lakukan semua langkah yang perlu sama ada pembenihan awan mahupun tindakan lain walaupun ini (keadaan jerebu) adalah kesan daripada perkembangan di tempat lain.

 “Kita terpaksa tanggung (kesan akibat jerebu) dan sabar sebentar. Saya doakan supaya semuanya selamat bagi rakyat di Serian dan seluruh Sarawak serta beberapa lokasi lain yang turut terjejas," katanya pada sidang media selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Bukit Indah, Ampang Jaya di sini.

Pagi tadi, kualiti udara di Serian terus berada pada tahap bahaya apabila stesen pemantauan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian merekodkan bacaan IPU mencecah 518.

Berdasarkan laman wen Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS), Kuching turut mencatatkan bacaan pada tahap bahaya iaitu 310.

Dua lagi kawasan di Sarawak berada pada tahap sangat tidak sihat iaitu Samarahan dengan bacaan 281 dan Sri Aman (245).

-- BERNAMA 
 

Must Watch Video

Advertisement