IPOH: Masjid di seluruh Perak akan mengadakan solat hajat selepas solat fardu Jumaat esok bagi memohon agar jerebu yang melanda negara ketika ini segera pulih.
Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) Datuk Harith Fadzilah Abdul Halim berkata inisiatif berkenaan antara pendekatan institusi masjid dalam mengajak masyarakat memperbanyakkan doa dan ibadah ketika negara berdepan keadaan cuaca serta kualiti udara yang kurang baik.
“Dalam masa sama, kita menyeru umat Islam supaya terus menjaga kesihatan serta mematuhi nasihat dan panduan yang dikeluarkan pihak berkuasa berhubung jerebu,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Harith Fadzilah berkata umat Islam di seluruh Perak diharap dapat bersama-sama menyertai solat hajat berkenaan sebagai ikhtiar memohon kepada Allah SWT agar jerebu segera berakhir.
Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS), tiga kawasan di Sarawak dan masing-masing satu di Kuala Lumpur dan Selangor merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat 10 pagi ini.
Samarahan mencatat bacaan IPU tertinggi, iaitu 163, diikuti Serian (161), Sri Aman (156), Cheras (127) dan Johan Setia, Selangor (111).
Sebanyak 58 stesen pemantauan merekodkan bacaan sederhana termasuk beberapa lokasi di Perak antaranya Tanjung Malim (93), Tasek Ipoh (90), Taiping (89) dan Seri Manjung (79).
-- BERNAMA