Skip to main content

Malaysia

Jerebu: JAS rancang tambah stesen pemantauan kualiti udara

Keadaan ruang udara di sekitar Kuala Lumpur yang kelihatan kabur akibat jerebu, susulan pencemaran rentas sempadan yang menjejaskan jarak penglihatan di beberapa kawasan. - Gambar: Bernama.
Keadaan ruang udara di sekitar Kuala Lumpur yang kelihatan kabur akibat jerebu, susulan pencemaran rentas sempadan yang menjejaskan jarak penglihatan di beberapa kawasan. - Gambar: Bernama.

Advertisement

Ringkasan AI

  • Jabatan Alam Sekitar merancang menambah stesen pemantauan kualiti udara di kawasan kerap titik panas untuk memperkukuh pemantauan pencemaran udara negara.
  • Pelaksanaan penambahan stesen berdepan kekangan ruang dan masih belum mempunyai penyelesaian muktamad setakat ini.
  • Orang ramai dinasihatkan merujuk bacaan rasmi IPU kerana data dipantau, disemak dan disahkan mengikut prosedur ketat oleh pasukan teknikal JAS.

KUALA LUMPUR: Jabatan Alam Sekitar (JAS) merancang menambah stesen pemantauan kualiti udara di kawasan tertentu, khususnya lokasi yang kerap mencatatkan titik panas, bagi memperkukuh pemantauan pencemaran udara negara.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Udara JAS, Mohd Yunos Rais berkata, bagaimanapun, pelaksanaan perancangan itu masih berdepan beberapa kekangan, termasuk dari segi ruang, dan belum mempunyai penyelesaian muktamad.

“Untuk makluman, kita memang mempunyai perancangan untuk menambah bilangan stesen di kawasan tertentu, khususnya di kawasan tumpuan yang sering mencatatkan titik panas ketika ini. 

"Namun, terdapat kekangan untuk menambah stesen, termasuk dari segi ruang. Buat masa ini, belum ada penyelesaian muktamad," katanya ketika dihubungi Astro AWANI bagi mengulas keupayaan pemantauan kualiti udara negara susulan keadaan jerebu.

Ketika ini, JAS mempunyai 68 stesen pemantauan kualiti udara automatik di seluruh negara, termasuk tiga stesen bergerak.

Mohd Yunos berkata, semua stesen dan peralatan pemantauan menjalani pemeriksaan serta penentukuran mengikut jadual bagi memastikan ketepatan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU).

“Semua stesen termasuk peralatan pemantauan perlu melalui proses pemeriksaan, pemantauan dan penentukuran mengikut jadual serta keperluan yang ditetapkan,” jelasnya.

Selain itu, katanya data yang diterima secara automatik turut disemak pasukan teknikal bagi mengenal pasti sebarang ketidaknormalan atau kesilapan sebelum disahkan untuk kegunaan rasmi.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya merujuk bacaan IPU rasmi sebagai panduan, terutama ketika keadaan udara kelihatan berjerebu.

Must Watch Video

Advertisement