Skip to main content

Malaysia

Jerebu: Kerajaan Indonesia digesa dedah syarikat Malaysia terlibat kebakaran hutan

[TB]_Aktivis Protest Jerebu Kedutaan Besar Indonesia 2_ASTRO AWANI_SHAHIR OMAR
Demonstrasi aman di hadapan Kedutaan Republik Indonesia, di Kuala Lumpur, pada Jumaat anjuran Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia (HARAM) dan Greenpeace Malaysia menggesa ketelusan kerajaan Indonesia mengenai lokasi kebakaran, hasil siasatan serta pemilikan konsesi. -Gambar Astro AWANI/Shahir Omar
Advertisement

KUALA LUMPUR: Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia (HARAM) dan Greenpeace Malaysia menggesa kerajaan Indonesia mendedahkan secara terbuka nama syarikat Malaysia yang dikenal pasti terlibat atau mempunyai kaitan dengan kebakaran hutan serta tanah gambut di negara itu.

Pengerusi HARAM, Brendon Gan, berkata pendedahan berkenaan penting bagi membolehkan pihak berkuasa Malaysia menjalankan siasatan dan mengambil tindakan terhadap mana-mana entiti korporat tempatan yang mempunyai kaitan dengan kebakaran tersebut.

“Kita perlu tahu siapa yang terlibat. Syarikat-syarikat tersebut perlu diberi amaran keras, mereka mesti dipertanggungjawabkan, dan mereka harus didakwa atas jerebu yang berlaku hari ini.

"Jangan hanya kerana syarikat ini menjana keuntungan kepada ekonomi Malaysia, anda (kerajaan) menutup mata terhadap kebajikan rakyat dan masyarakat," ujar Brendon ketika menyertai demonstrasi aman di hadapan Kedutaan Republik Indonesia, di sini, pada Jumaat.

Tambah Brendon, Malaysia perlu mempercepatkan usaha mengembalikan Akta Jerebu Rentas Sempadan yang dicadangkan pada tahun 2019 bagi membolehkan tindakan diambil terhadap syarikat berpangkalan di Malaysia sekiranya terbukti mempunyai kaitan dengan pencemaran jerebu di luar negara.

"Isu kebakaran terbuka ini bukan masalah kecil. Anak-anak menanggung impak, sekolah dan perniagaan ditutup, akhirnya ekonomi dan masyarakat terkesan apabila darurat diisytiharkan.

"Ingatlah apa yang pernah berlaku pada COVID-19, kita melalui perintah kawalan pergerakan (PKP), krisis ekonomi tercetus.

"Orang tidak boleh bekerja, orang hilang pekerjaan, sampai bendera putih dikibarkan.

"Kita tak mahu isu sebegini berulang kembali. Biarlah itu menjadi sejarah dan jangan pernah dibuka semula," jelas Brendon.

Menurut HARAM, setakat 31 Ogos lalu, pihak berkuasa Indonesia mendedahkan 19 syarikat yang memegang konsesi di kawasan terjejas kebakaran meliputi 11,047 hektar di tujuh wilayah sedang disiasat.

Selain itu, ahli politik di Indonesia turut mengeluarkan kenyataan mengenai kewujudan syarikat dari Malaysia yang didakwa menjadi penyumbang kepada kebakaran terbuka.

Justeru, HARAM menggesa maklumat dan bukti berkaitan seperti peta konsesi, data titik panas dan hasil siasatan kebakaran dikongsikan menerusi kerjasama rapat antara kerajaan Malaysia dan Indonesia.

Perkara itu ditegaskan menerusi satu memorandum yang diserahkan secara bersama oleh HARAM dan Greenpeace Malaysia kepada wakil Kedutaan Republik Indonesia di ibu negara, pada Jumaat.

Selain itu, HARAM mendakwa kerjasama nyata antara negara ASEAN masih belum memadai, walaupun negara-negara terbabit merupakan pihak yang meratifikasi Persetujuan ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan.

Katanya lagi, tindakan tersebut bukan bertujuan menyalahkan Indonesia, sebaliknya sebagai tanda solidariti kepada masyarakat yang terjejas serta usaha memastikan pihak bertanggungjawab terhadap krisis jerebu diheret ke muka pengadilan.

Must Watch Video

Advertisement