KUALA LUMPUR: Kes asma di negara ini dilaporkan meningkat lebih lapan kali ganda, susulan kualiti udara yang merosot akibat jerebu yang melanda beberapa kawasan di seluruh negara ketika ini.
KKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan dapatan survelan di fasiliti sentinel merekodkan 1,811 kes asma bagi Minggu Epidemiologi (ME) ke-34 (23 hingga 29 Ogos) melonjak berbanding hanya 219 kes pada minggu sebelumnya, iaitu bagi tempoh 16 hingga 22 Ogos.
Selain asma, kes konjunktivitis atau sakit mata turut menunjukkan trend peningkatan kepada 720 kes berbanding 146 kes pada ME 33, manakala jangkitan saluran pernafasan akut (URTI) pula merekodkan penurunan 50 peratus daripada 3,674 kepada 1,857 kes.
"Tiada sebarang kes kematian berkaitan komplikasi jerebu dilaporkan, namun pemantauan menerusi Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Balas Krisis (CPRC) Kebangsaan terus dipertingkatkan," menurut kenyataan itu.
Mengenai kualiti udara, KKM memaklumkan 30 daripada 68 stesen pemantauan Indeks Pencemar Udara (IPU) mencatatkan status tidak sihat dan sangat tidak sihat setakat 8 pagi tadi, dengan Sri Aman di Sarawak merekodkan bacaan tertinggi, iaitu 222 (sangat tidak sihat).
Negeri lain yang turut mencatatkan bacaan IPU tidak sihat ialah Perak, Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Perlis, Johor, Putrajaya, Kuala Lumpur dan Sarawak.
Susulan peningkatan kes penyakit berkaitan pernafasan, KKM menasihatkan orang ramai terutama kumpulan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga emas dan pesakit paru-paru kronik agar mengehadkan aktiviti fizikal di luar bangunan.
Orang ramai juga disarankan memakai pelitup muka yang sesuai seperti N95 sekiranya perlu berada di kawasan terbuka serta memastikan pengambilan air masak secukupnya untuk tubuh sentiasa terhidrat.
"Segera hadir ke fasiliti kesihatan terdekat jika mengalami gejala sesak nafas, batuk berterusan atau iritasi mata," menurut KKM.
-- BERNAMA