KUALA LUMPUR: Lapan kawasan di Semenanjung merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat 5 petang ini dengan Klang di Selangor mencatatkan bacaan tertinggi iaitu 159.

Menurut laman sesawang Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Jabatan Alam Sekitar, tujuh kawasan lagi yang mencatatkan bacaan IPU tidak sihat melibatkan empat di Selangor iaitu Petaling Jaya (154), Johan Setia (153), Shah Alam (138) dan Banting (133).

Sementara dua kawasan di Kuala Lumpur iaitu Cheras (146) dan Batu Muda (137) serta Tangkak, Johor (116).

Sebanyak 45 kawasan merekodkan bacaan IPU sederhana, manakala 15 kawasan mencatat bacaan IPU baik.

Bacaan IPU sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara yang baik, 51-100 sederhana, 101-200 tidak sihat, 201-300 sangat tidak sihat dan IPU melebihi 300 adalah berbahaya.

Data IPU dikeluarkan setiap jam berdasarkan 68 stesen pengawasan kualiti udara di seluruh negara.

-- BERNAMA