Skip to main content

Malaysia

Jerebu: Larkin, Pasir Gudang catat bacaan Sangat Tidak Sihat setakat 4 petang

Larkin menyertai Pasir Gudang yang turut merekodkan bacaan 202 dalam kategori Sangat Tidak Sihat. -Gambar fail/Bernama
Larkin menyertai Pasir Gudang yang turut merekodkan bacaan 202 dalam kategori Sangat Tidak Sihat. -Gambar fail/Bernama

Advertisement

KUALA LUMPUR: Keadaan jerebu di selatan Semenanjung terus memburuk apabila stesen pemantauan Larkin di Johor memasuki kategori Sangat Tidak Sihat dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 202 setakat jam 4 petang ini.

Larkin menyertai Pasir Gudang yang turut merekodkan bacaan 202 dalam kategori Sangat Tidak Sihat.

Larkin meningkat dua mata berbanding bacaan 200 yang direkodkan pada jam 3 petang, manakala Pasir Gudang menurun dua mata daripada 204 sejam sebelumnya.

Menurut data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS), dua stesen kini berada dalam kategori Sangat Tidak Sihat manakala 26 stesen berada dalam kategori Tidak Sihat.

Di Perak, kedua-dua stesen pemantauan di Ipoh kembali ke kategori Sederhana apabila Tasek, Ipoh mencatatkan bacaan 99 berbanding 120 sejam sebelumnya, manakala Pegoh, Ipoh merekodkan bacaan 99 berbanding 117.

Di Lembah Klang dan Pantai Barat, Johan Setia mencatatkan bacaan 184, diikuti Nilai dan Pengerang masing-masing pada paras 181. Bandaraya Melaka merekodkan bacaan 180 manakala Klang mencatatkan bacaan 176.

Di Pantai Timur, Temerloh dan Rompin masing-masing merekodkan bacaan 139 dan 103. Rompin kini hanya tiga mata di atas kategori Sederhana.

Di Sabah, Sandakan mencatatkan peningkatan kepada 107 manakala Tawau kekal pada bacaan 153. Kedua-dua stesen itu berada dalam kategori Tidak Sihat.

Sarawak pula merekodkan bacaan terbaik apabila Sarikei mencatatkan IPU 50 sekali gus menjadi satu-satunya stesen dalam kategori Baik setakat jam 4 petang.

Secara keseluruhan, dua stesen berada dalam kategori Sangat Tidak Sihat, 26 stesen dalam kategori Tidak Sihat, 39 stesen dalam kategori Sederhana dan satu stesen dalam kategori Baik.

Mengikut klasifikasi IPU, bacaan 0 hingga 50 dikategorikan sebagai Baik, 51 hingga 100 (Sederhana), 101 hingga 200 (Tidak Sihat), 201 hingga 300 (Sangat Tidak Sihat) dan melebihi 300 sebagai Berbahaya.

Must Watch Video

Advertisement