PUTRAJAYA: Malaysia akan meneliti tawaran bantuan kepada Indonesia bagi menangani kebakaran hutan yang mencetuskan jerebu susulan kebakaran di negara itu yang dilaporkan semakin meluas.
Jurucakap Kerajaan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata perbincangan susulan akan diadakan dengan mengambil kira keperluan sebenar di lapangan bagi memastikan bantuan dan aset yang ditawarkan Malaysia dapat mencapai matlamatnya.
Beliau berkata, setakat ini, kerajaan belum menerima maklumat terperinci berhubung jenis aset yang perlu dihantar ke Indonesia, memandangkan perbincangan berhubung perkara itu masih berjalan.
"Isunya, api telah merebak dengan agak meluas. Jadi, apa-apa bentuk bantuan dan aset yang kami tawarkan sejak mungkin sebulan lalu perlu dinilai semula untuk memastikan bantuan itu benar-benar mencapai maksud.
"Perbincangan susulan akan dibuat. Namun, setakat ini belum ada maklumat terperinci ataupun khusus mengenai aset yang akan dihantar.
"Jadi, perbincangan itu masih berjalan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Jemaah Menteri, di sini, pada Jumaat.
Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata Kabinet turut dimaklumkan mengenai keadaan cuaca kering di Kalimantan yang menyaksikan ketiadaan hujan selama lebih 100 hari, sekali gus meningkatkan risiko kebakaran.
Sementara itu, portal berita Indonesia melaporkan langit di Kalimantan Tengah bertukar jingga susulan kebakaran hutan yang terus merebak sehingga menyebabkan kawasan berkenaan dilitupi asap tebal.
Keadaan itu turut menyebabkan tahap pencemaran udara meningkat apabila bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) dilaporkan melepasi 1,200, jauh melebihi paras 300 yang dikategorikan sebagai berbahaya.