Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menasihatkan orang ramai agar mengurangkan aktiviti luar akibat keadaan jerebu yang melanda negara pada ketika ini.

"Saya difahamkan keadaan jerebu di beberapa negeri di Malaysia berada pada paras tidak sihat," katanya dalam catatan terkini beliau di laman Twitter dan Facebook hari ini.

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar memakai topeng muka jika perlu melakukan aktiviti di luar.


Keadaan jerebu semakin membimbangkan setakat 1 tengah hari, hari ini dengan empat kawasan merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sangat tidak sihat.

Menurut portal Jabatan Alam Sekitar (JAS), Shah Alam mencatatkan IPU tertinggi 255, diikuti Pelabuhan Klang (230); Batu Muda, Kuala Lumpur (241) dan Petaling Jaya (207).