KUALA LUMPUR: Kerjasama antara hospital kerajaan dan swasta disaran bagi mempercepat akses rawatan kesihatan kepada golongan rentan, khususnya kanak-kanak yang terjejas akibat jerebu.
Pakar Pediatrik dan Pakar Pernafasan Pediatrik Pusat Perubatan Sunway, Dr Noor Zehan Abdul Rahim berkata, pendekatan itu boleh dilaksanakan menerusi skim subsidi rawatan bagi mengelakkan komplikasi kesihatan lebih serius.
“Supaya (pesakit) boleh mendapatkan rawatan yang segera dan cepat sebelum berdepan masalah kesihatan yang lebih serius berkaitan dengan jerebu ini,” katanya dalam wawancara bersama Astro AWANI hari ini.
Beliau turut menyarankan kerajaan mengambil contoh Singapura yang mengaktifkan skim subsidi rawatan jerebu bagi membantu golongan rentan mendapatkan perkhidmatan kesihatan.
Jelasnya, bantuan subsidi sedemikian dapat meringankan beban pesakit selain memastikan mereka memperoleh rawatan sewajarnya.
Cadangan itu dibuat ketika Pusat Perubatan Sunway merekodkan peningkatan 40 peratus kemasukan kanak-kanak ke wad akibat masalah pernafasan berkaitan jerebu.
Dr Noor Zehan berkata, kebanyakan pesakit berusia bawah dua tahun, dengan kes melibatkan pneumonia, bronkitis akut dan bronkiolitis akut.
Menurutnya, peningkatan pesakit turut dikesan di jabatan pesakit luar dan jabatan kecemasan pusat perubatan berkenaan.
Beliau menjelaskan, kanak-kanak bawah dua tahun lebih berisiko kerana saluran pernafasan dan sistem imunisasi mereka masih dalam proses perkembangan.
Katanya, pendedahan kepada bahan pencemar dalam udara boleh mencetuskan keradangan, meningkatkan rembesan mukus dan menyebabkan saluran pernafasan menjadi sempit.
Peningkatan kes berterusan juga berpotensi memberi tekanan kepada kapasiti wad pediatrik, bekalan ubat-ubatan serta keperluan oksigen dan bantuan pernafasan.
Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa memastikan prosedur operasi standard (SOP) perlindungan kanak-kanak dilaksanakan berdasarkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU).
Dr Noor Zehan turut menekankan kepentingan memastikan kualiti udara di sekolah dan pusat penjagaan kanak-kanak berada pada tahap selamat bagi mengurangkan risiko kesihatan.