KUALA LUMPUR: Sekolah, tadika dan taska perlu ditutup serta-merta sekiranya bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) melebihi 200, selaras dengan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK).
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Alam Sekitar (JAS), Azuri Azizah Saedon berkata pihak sekolah, tadika dan taska perlu sentiasa memantau bacaan IPU dan membuat persediaan sekiranya trend bacaan menunjukkan peningkatan menghampiri paras 200.
"Apabila bacaan IPU melebihi 100, semua aktiviti di luar bilik darjah hendaklah dihentikan, manakala sekolah, tadika dan taska perlu ditutup serta-merta apabila bacaan IPU melebihi 200," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata tindakan itu merupakan antara langkah yang ditetapkan di bawah PTJK bagi memastikan keselamatan dan kesihatan orang awam, khususnya golongan kanak-kanak dan pelajar, sentiasa diberikan keutamaan ketika keadaan jerebu bertambah buruk.
Menurutnya, JAS meneruskan pemantauan berterusan terhadap kualiti udara di seluruh negara termasuk bacaan IPU, kejadian titik panas, keadaan cuaca dan perkembangan jerebu.
"Maklumat tersebut digunakan sebagai input penting dalam penilaian situasi semasa serta penyelarasan tindakan bersama kementerian, agensi dan pihak berkepentingan yang terlibat dalam pengurusan bencana jerebu," katanya.
Susulan peningkatan aktiviti titik panas serta keadaan jerebu yang semakin meluas di Rantau Selatan ASEAN, Sekretariat ASEAN juga telah mengaktifkan Tahap Amaran 3 bagi Rantau Selatan ASEAN berkuat kuasa 27 Ogos lepas, berdasarkan hasil pemantauan, penilaian dan ramalan Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC).
Azuri menjelaskan, pengaktifan tahap amaran berkenaan adalah selaras dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) Mekanisme ASEAN bagi Pengurusan Jerebu (MAJER ASEAN).
Dalam pada itu, katanya, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat daerah, negeri atau pusat apabila bacaan IPU melebihi 150 bagi tempoh lebih 24 jam.
Beliau berkata Operasi Pembenihan Awan (OPA) pula akan dilaksanakan tertakluk kepada kehadiran awan dan keadaan cuaca yang sesuai apabila bacaan IPU melebihi 150 bagi tempoh lebih 24 jam.
Mengenai tindakan JAS di lapangan, Azuri menjelaskan JAS Negeri Sarawak terus melaksanakan rondaan, Operasi Mencegah Pembakaran Terbuka (OMPT), pemantauan dan penguatkuasaan, khususnya di kawasan yang dikenal pasti berisiko berlaku pembakaran terbuka.
Katanya, tindakan itu diperkukuh melalui rondaan berkala atau harian mengikut keperluan dan tahap risiko semasa, selain pemantauan lebih rapi di kawasan hutan, tanah gambut, tapak pelupusan sampah, kawasan pertanian dan perladangan serta kawasan industri.
"JAS akan mengambil tindakan penguatkuasaan yang tegas dan segera terhadap sebarang aktiviti pembakaran terbuka atau sumber pencemaran yang dikenal pasti, selaras dengan peruntukan undang-undang serta bidang kuasa JAS.
"Pada masa sama, pemantauan terhadap keadaan kualiti udara, titik panas, keadaan meteorologi dan perkembangan jerebu rentas sempadan akan diteruskan," katanya.
Beliau berkata pihak industri juga perlu memastikan pelepasan udara daripada punca utama dikurangkan bagi kawasan yang mencatatkan bacaan IPU melebihi 300.