KUALA LUMPUR: Haiwan yang tidak mampu bersuara terpaksa menunggu lebih lama untuk mendapatkan rawatan apabila doktor veterinar mereka terkandas akibat gangguan penerbangan susulan jerebu.
Perjalanan pulang Dr Samuel Wong, 33 bersama isterinya yang menetap di Mukah tergendala selepas penerbangannya dari Mulu ke Miri pada pukul 1 tengah hari Selasa ditunda kepada 12.25 tengah hari esok.
“Sebaik tiba di lapangan terbang, kami dimaklumkan beberapa penerbangan mengalami kelewatan. Ada pesawat yang sudah tiba dan berlegar di ruang udara Mulu, tetapi juruterbang tidak dapat mendarat,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Dr Samuel yang berada di Mulu untuk bercuti berkata, keadaan itu dipercayai berpunca daripada jarak penglihatan terhad susulan jerebu.
Menurutnya, penerbangan berkenaan pada mulanya dijadualkan semula pada pukul 2.55 petang, sebelum ditunda sekali lagi ke hari berikutnya.
Pemilik klinik haiwan itu terpaksa menanggung sendiri kos penginapan tambahan kerana gangguan penerbangan berkenaan berpunca daripada faktor cuaca dan bukannya masalah teknikal syarikat penerbangan.
“Kami perlu membayar sendiri penginapan untuk satu malam lagi kerana syarikat penerbangan tidak menanggung kos tersebut.
“Pada masa sama, banyak janji temu yang dibuat sejak minggu lalu terpaksa ditunda. Kami perlu menghubungi pelanggan untuk memaklumkan bahawa klinik tidak dapat dibuka seperti dijadualkan,” katanya.
Gangguan itu bukan sahaja menyebabkan kerugian kepada perniagaannya, malah beberapa haiwan di Mukah terpaksa menunggu lebih lama bagi mendapatkan rawatan.
Dr Samuel yang berpindah dari Kuala Lumpur ke Mukah bersama isterinya empat tahun lalu berkata, ini kali pertama beliau berdepan pembatalan penerbangan akibat jerebu sejak menetap di Sarawak.
Dalam kemas kini terbaharu pada Selasa, AirBorneo Airways memaklumkan sebanyak 14 penerbangan dijadualkan semula susulan kekangan operasi dan keselamatan.
Ia termasuk penerbangan bagi laluan Mulu–Miri yang sepatutnya dinaiki Dr Samuel untuk meneruskan perjalanan pulang.
Pada Isnin, syarikat penerbangan tersebut turut mengeluarkan nasihat perjalanan bahawa penerbangan dalam wilayah Borneo mungkin dijadualkan semula atau dibatalkan susulan keadaan jerebu yang semakin buruk atas faktor keselamatan.