KUALA LUMPUR: Serian di Sarawak keluar daripada kategori sangat tidak sihat selepas bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan itu menurun kepada 197 setakat jam 5 petang ini.
Perkembangan itu sekali gus menyaksikan tiada lagi kawasan mencatatkan bacaan melebihi 200, berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS).
Bagaimanapun, Sarawak masih mencatatkan sembilan stesen dengan bacaan tidak sihat, dengan Kuching merekodkan IPU 187, diikuti Samarahan (176), Sri Aman (173), Bintulu (161), Sarikei (157), Sibu (156), Samalaju (154) dan Kapit (139).
Sementara itu, kualiti udara di Mukah, Sarawak dan Bukit Rambai, Melaka terus menunjukkan pemulihan dalam kategori sederhana dengan masing-masing merekodkan bacaan 96 dan 94.
Di Lembah Klang, majoriti stesen kekal mencatatkan bacaan sederhana dengan Cheras merekodkan bacaan tertinggi iaitu 85, diikuti Shah Alam (84), Johan Setia (82), Petaling Jaya (77), Batu Muda (75), Banting (75), Klang (73), Kuala Selangor (69) dan Putrajaya (71).
Sebanyak 12 stesen di seluruh negara mencatatkan kualiti udara pada tahap baik (IPU 0 hingga 50) selepas Kota Bharu turut memasuki kategori itu dengan bacaan 50.
Langkawi terus merekodkan kualiti udara terbaik di negara ini dengan bacaan IPU 21, diikuti Kangar (22), Besut (22), Tanah Merah (31), Jerantut (43), Alor Setar (44), Kuala Terengganu (46), Paka (47), Balik Pulau (48), Minden (48) dan Temerloh (49).