MALAYSIA
Jho Low, Nik Faisal dalang konspirasi SRC - Peguam

Peguam Najib berhujah bahawa Jho Low telah menempatkan ejen dalam syarikat itu untuk melaksanakan rancangannya. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau dikenali sebagai Jho Low, mempunyai agendanya sendiri dengan mengambil kesempatan terhadap SRC International Sdn Bhd atau 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk kepentingan peribadi.
Ringkasan AI
- Peguam Najib berhujah bahawa Jho Low mengeksploitasi SRC dan 1MDB untuk kepentingan peribadi dengan menempatkan ejen seperti Nik Faisal Ariff Kamil dalam syarikat tersebut.
- Tiada bukti kukuh mengaitkan Najib dengan konspirasi, dan peguamnya menegaskan beliau tidak boleh dipertanggungjawabkan hanya kerana menjadi figura utama dalam syarikat.
- SRC menuntut Najib membayar balik kerugian RM42 juta atas dakwaan pecah amanah dan salah guna kuasa, walaupun beliau kini sedang menjalani hukuman penjara atas kesalahan berkaitan dana tersebut.
Hujahan itu dibuat semasa perbicaraan saman sivil berjumlah AS$1.18 bilion terhadap Najib, dan Nik Faizal yang masih bebas.
Peguam itu turut berhujah bahawa ketiadaan bukti yang mengaitkan Najib dengan dakwaan salah guna menunjukkan bahawa, jika wujud sebarang konspirasi, perkara itu adalah antara Jho Low dengan Nik Faisal, yang dibantu oleh pengarah-pengarah syarikat dan tidak melibatkan Najib.
"Dalam undang-undang, seseorang hanya boleh dipertanggungjawabkan atas konspirasi sekiranya dia menjadi pihak dalam perjanjian itu. Seseorang tidak boleh dilibatkan hanya kerana menjadi figurehead dalam syarikat. Kami memohon agar mahkamah tidak membenarkan penipuan keterlaluan yang dilakukan oleh pihak lain untuk dijadikan alasan menjadikan Najib sebagai kambing hitam tanpa bukti," katanya.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin akan bersambung pada 24 Sept.
Pada Mei 2021, SRC di bawah pengurusan baharu, telah memfailkan saman itu atas dakwaan Najib telah melakukan pecah amanah jenayah, salah guna kuasa dan memperoleh ganjaran daripada dana syarikat itu, selain melakukan penyelewengan terhadap dana berkenaan.
Syarikat terbabit menuntut deklarasi mahkamah bahawa Najib bertanggungjawab atas kerugian yang dialami syarikat akibat pelanggaran tugas serta amanah, dan menuntut supaya beliau membayar balik kerugian yang dialami berjumlah RM42 juta.
Najib sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang selepas disabitkan bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami