NATIONAL
'Jika tiada JAC, PM akan lebih berkuasa dalam soal pelantikan hakim' - kata Nazri kepada Tengku Maimun

Nazri Aziz menyifatkan Akta JACA bagus dan telus, dengan ahli suruhanjaya itu sendiri berperanan menapis nama hakim yang dicalonkan. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Sistem kehakiman negara diuji sekali lagi apabila wujud cadangan untuk meminda Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JACA) 2009 yang telah menjadi teras pemilihan hakim mahkamah sedekad lebih.
Ringkasan AI
- Terdapat cadangan untuk meminda Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 bagi menghapuskan peranan Perdana Menteri dalam pelantikan hakim, yang disambut baik oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat.
- Bekas Menteri Undang-Undang Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mempertahankan akta tersebut sebagai telus dan berkesan, sambil mengingatkan bahawa nasihat akhir kepada Yang di-Pertuan Agong tetap datang daripada Perdana Menteri.
- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan komitmen untuk meneliti semula kerangka kerja JAC melalui rundingan dengan pihak berkepentingan, termasuk institusi kehakiman dan Majlis Raja-Raja.
“Macam mana kita nak lantik hakim … adakah nama-nama itu datang dari langit? Ataupun ada orang terima nama dalam mimpi? Jadi (akta) ini adalah cara terbaik, kerana ia merupakan amalan ratusan tahun dan tidak pernah dipertikaikan pun di United Kingdom (UK).
“Kalau ada sedikit kelemahan, over the years ia boleh diperbetulkan. Macam kita juga, pada 2009 kita pastikan Perdana Menteri hanya boleh terima nama yang telah ditapis oleh JAC,” tegasnya lagi.
Baru-baru ini, terdapat cadangan untuk meminda Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 dan Perlembagaan Persekutuan bagi menghapuskan peranan Perdana Menteri dalam pelantikan hakim.
Malah, Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat menyambut baik cadangan tersebut.
“Perubahan sebegini akan mengukuhkan lagi ketelusan dan memastikan pelantikan kehakiman kekal berdasarkan merit serta bebas daripada sebarang pengaruh politik,” kata Tengku Maimun semasa menyampaikan ucaptama di Persidangan Perundangan Komanwel ke-24 di Malta pada 8 April lepas.
Namun Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan susulannya berkata, Kerajaan Madani menyatakan komitmen reformasi untuk meneliti semula secara menyeluruh kerangka kerja JAC.
Menurut Anwar, kajian semula itu akan melibatkan rundingan bersama pihak berkepentingan termasuk institusi kehakiman, Majlis Raja-Raja, Majlis Peguam dan pertubuhan masyarakat madani (NGO).
Dalam pada itu Nazri turut mempersoal tindakan Tengku Maimun kerana tidak mengutarakan cadangan yang lebih baik sebaliknya menuduh Perdana Menteri mencampuri urusan tersebut.
“Kalau setakat cakap, hearsay PM nak masuk campur, awak buatlah dulu perbincangan, minta Majlis Peguam (sokong) dan bukan hanya sekadar menuduh dan kritik saja. Bagi cadangan, tak ada pun cadangan yang lebih baik?
“Menuduh Perdana Menteri campur tangan, Tak bolehlah. Pertama cari bukti, kerana tugas hakim ialah membuat keputusan berdasarkan kepada fakta,” katanya lagi.
Malah, tambah Nazri lagi, Anwar sendiri sewaktu menjadi Ketua Pembangkang, yang membangkitkan persoalan dan keperluan untuk mengurangkan kuasa Perdana Menteri dalam soal pelantikan hakim dahulu.
Akhirnya, kata Nazri lagi, kerajaan menyambut baik cadangan tersebut, sebelum diangkat menjadi usul rasmi, dan melalui proses dalam Dewan Rakyat dan Dewan Negara sebelum akhirnya menjadi akta rasmi.
“Kita (kerajaan ketika itu) sokong dan setuju. Saya menteri (ketika itu) bahas, dan sebelum rang undang-undang nak jadi, kita kena bawa ke Kabinet, apabila Kabinet setuju 100 peratus, dan kerana kita membawa mandat rakyat, akhirnya saya bentangkan RUU itu pada 2009. Itu yang terbaik.
“Sebab itu pada saya, tak betul apa yang Tengku Maimun buat kerana dia adalah seorang sitting judge. Kenyataan boleh memberi impak, dan menyebabkan polemik,” katanya lagi.
Nazri berkata beliau akui Tengku Maimun merupakan seorang pegawai undang-undang yang bagus, namun kenyataan itu dibuat pada saat yang boleh menimbulkan persoalan, kerana Tengku Maimun akan bersara pada Jun hadapan.
“Mengikut Perlembagaan Persekutuan, dia boleh disambung enam bulan lagi. Tetapi Ketua-ketua Hakim Negara sebelum dia semua disambung, sampai pada dia tak sambung. Adakah ini punca dia tidak berpuas hati?” soal Nazri lagi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami