Ringkasan AI
- UMNO bersedia mendedahkan maklumat terperinci kutipan sumbangan RM50 juta bagi membayar denda Datuk Seri Najib Tun Razak.
- Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan kutipan dibuat secara crowdfunding, mengikut garis panduan dan disalurkan ke akaun amanah Ibu Pejabat UMNO.
- Ahmad Zahid menyerahkan kepada mahkamah untuk memutuskan isu pelaksanaan tahanan rumah Najib dan menegaskan kuasa Yang di-Pertuan Agong tidak wajar dicabar.
TANGGA BATU: UMNO bersedia membuka semua maklumat terperinci berhubung kutipan sumbangan RM50 juta yang digunakan bagi membayar denda bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan kutipan berkenaan dibuat menerusi kaedah pendanaan awam (crowdfunding) dan melibatkan sumbangan daripada pelbagai pihak termasuk ahli dan bukan ahli UMNO, selain cawangan, bahagian serta perhubungan UMNO negeri.
Jelas beliau, pendanaan awam itu telah dilakukan mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh struktur hierarki yang ada.
“Jadi usaha itu telah dibuat bagi menentukan garis panduan diikuti sepenuhnya oleh struktur hierarki yang ada.
“Dan kita sedia untuk membuka semua maklumat terperinci hasil kutipan itu kepada pihak berwajib kerana kita telah mendapat garis panduan daripada pihak berwajib dan kita ikuti sepenuhnya garis panduan berkenaan dan wang itu disalurkan setelah ianya dimasukkan di dalam akaun yang diamanahkan ke Ibu Pejabat UMNO Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas ditemui pada program Perhimpunan Kakitangan Kemas Bersama Kepimpinan Tertinggi, di sini pada Selasa.
Beliau mengulas gesaan supaya kerajaan dan pihak berkuasa menyiasat jejak wang RM50 juta yang dikumpulkan bagi membayar denda Najib.
Mengulas lanjut, Timbalan Perdana Menteri itu berkata, tabung yang dibuka oleh Ibu Pejabat UMNO telah ditutup setelah jumlah kutipan itu mencukupi sebanyak RM50 juta.
Ahmad Zahid menambah wang berkenaan kemudian disalurkan selepas dimasukkan ke dalam akaun yang diamanahkan kepada Ibu Pejabat UMNO Malaysia.
Sementara itu, Ahmad Zahid juga menyerahkan kepada mahkamah untuk membuat keputusan berhubung permohonan Jabatan Peguam Negara (AGC) berkaitan isu pelaksanaan tahanan rumah Najib.
Ujarnya, AGC bukan sekadar memohon interpretasi terhadap keputusan yang dibuat oleh Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong, malah memohon supaya satu proses semakan dilakukan.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid menegaskan bahawa beliau tidak mahu wujud sebarang tindakan yang boleh dianggap sebagai usaha melengah-lengahkan pelaksanaan pengampunan yang diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong selaku Pengerusi Lembaga Pengampunan.
Beliau berkata Perkara 42(9) Perlembagaan Persekutuan perlu dipatuhi dan tidak wajar kuasa Yang di-Pertuan Agong dicabar.
“Segala undang-undang di negara ini, induknya adalah Perlembagaan Malaysia.
“Dan jika sesuatu itu telah termaktub di bawah Perlembagaan itu, ianya hendaklah dipatuhi sepenuhnya dan jangan pernah mencabar kuasa mutlak Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Yang di-Pertuan Agong,” katanya.
Pada Jumaat, media melaporkan UMNO mengesahkan proses pembayaran denda RM50 juta sudah diselesaikan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebagai syarat untuk Najib menjalani tahanan di rumah.