IPOH: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak menahan 95 warga asing dalam serbuan ke atas 25 premis di sekitar Ipoh dan Gopeng, semalam.

Timbalan Pengarah JIM Perak Sharmanrizal Rustam berkata kesemua mereka yang ditahan terdiri daripada lima lelaki warga Indonesia; 18 lelaki warga Bangladesh; sembilan lelaki, tujuh wanita serta masing-masing seorang kanak-kanak lelaki dan perempuan warga Myanmar.

Beliau berkata turut ditahan seorang lelaki warga Pakistan, seorang lelaki dan 10 wanita warga Kemboja, 16 lelaki dan 23 perempuan warga Thailand, masing-masing seorang wanita warga Laos dan Filipina serta seorang lelaki warga Mesir.

"Operasi melibatkan 20 pegawai yang bermula 11 pagi hingga 12 tengah malam itu, membabitkan pemeriksaan terhadap 119 individu di tujuh kedai pakaian, tujuh premis makanan, masing-masing sebuah pusat cuci kereta, pusat hiburan dan pusat rekreasi serta lapan lot penjaja swasta," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sharmanrizal berkata kesemua warga asing tersebut ditahan bagi tujuan siasatan kerana dipercayai dengan munasabah telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki sebarang pas yang sah untuk berada di dalam negara ini.

"Mereka yang ditahan turut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(c) iaitu telah tinggal lebih masa dan kesalahan di bawah Peraturan 39(b), Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat Pas Lawatan," katanya.

Justeru, Sharmanrizal berkata pihaknya berharap masyarakat dapat membuat laporan atau aduan bagi membantu JIM membanteras kebanjiran pendatang tanpa izin di negara ini.

Beliau berkata JIM juga akan mengambil tindakan tegas terhadap majikan atau individu yang menggaji atau melindungi pendatang tanpa izin termasuk pendakwaan di mahkamah.

-- BERNAMA