PUTRAJAYA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) memberi ruang penangguhan pertukaran penempatan sementara mengikut permohonan terhadap pegawainya yang terlibat dalam arahan penempatan dan pertukaran, kata Ketua Pengarah Kastam Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin.

Dalam kenyataan semalam, beliau berkata sehingga kini, beberapa pertukaran pegawai JKDM telah ditangguhkan atas sebab-sebab keluarga, kesihatan dan persekolahan anak-anak.

"JKDM sentiasa memberi penekanan serius kepada kebajikan warga jabatan selaras dengan hasrat untuk mewujudkan sebuah organisasi yang efisien di bawah elemen cekap, tangkas dan integriti.

"(Ia) bagi menyumbang ke arah pembangunan ekonomi negara melalui kecekapan pungutan hasil kerajaan, fasilitasi perdagangan dan bekerjasama erat dengan semua pihak berkepentingan," katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan dakwaan Presiden Kesatuan Pegawai Kastam Semenanjung Malaysia (KPKSM) Abdul Malik Mohamed Zin yang mengatakan bahawa arahan pertukaran yang dibuat Ketua Pengarah Kastam dilakukan tanpa mengambil kira kebajikan pegawai terlebih dahulu.

Abdul Malik semalam turut mendakwa perintah pertukaran yang dikeluarkan adalah muktamad dan sebarang rayuan tidak dibenarkan seperti dinyatakan dalam surat arahan pertukaran itu.

Susulan itu, KPKSM telah mendesak pengurusan tertinggi JKDM supaya membatalkan arahan pertukaran antara negeri membabitkan beberapa pegawainya.

Anis Rizana berkata arahan penempatan dan pertukaran pegawai adalah selaras dengan perintah yang dikeluarkan oleh JKDM iaitu Perintah Tetap Perjawatan Bil.78-Dasar Penempatan dan Pertukaran Pegawai JKDM bertarikh 10 Ogos 2023 dan kaedah pelantikan pegawai dalam perkhidmatan awam dan urusan-urusan lain berkaitan pelantikan di bawah Ceraian UP.2.2.1 (Panduan Pertukaran Pegawai) yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berkuat kuasa pada 1 Jan 2022.

Ia juga tertakluk di bawah Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023 (Semakan Semula Separuh Penggal) di bawah Objektif Strategik 2.1: Merekayasa Perkhidmatan Awam ke arah tadbir urus baik melibatkan inisiatif bagi mengukuhkan mekanisme dalam menguatkuasakan pusingan kerja secara mandatori kepada penjawat awam yang memegang jawatan sensitif, katanya.

Menurutnya, pertukaran itu antaranya dapat membantu memperkaya dan memperluas tugas kepada pegawai serta mencegah sebarang kemungkinan berlakunya penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan rasuah.

"Kesemua pertukaran yang dilaksanakan melibatkan pegawai-pegawai JKDM yang telah berkhidmat melebihi tujuh tahun di lokaliti yang sama," katanya.

Anis Rizana berkata dasar pelaksanaan penempatan dan pertukaran ialah menukar pegawai yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya tiga tahun tetapi tidak melebihi lima tahun dalam sesuatu jawatan yang diklasifikasikan sebagai jawatan sensitif.

Dasar itu turut membabitkan pelaksanaan menukar pegawai yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya tiga tahun tetapi tidak melebihi lapan tahun bagi sesuatu jawatan yang diklasifikasikan sebagai jawatan bukan sensitif.

"Seseorang pegawai boleh ditukarkan sama ada atas arahan Ketua Pengarah Kastam ataupun atas permohonan pegawai sendiri yang dipersetujui oleh Ketua Pengarah Kastam berdasarkan kepentingan perkhidmatan tanpa terikat dengan tempoh perkhidmatan yang dinyatakan pada perenggan di atas," katanya.

-- BERNAMA