Skip to main content

Malaysia

LKIM nafi gambar tular berlaku di Pulau Kambing, Kuala Terengganu

rohingya, LKIM - Gambar media sosial
LKIM menafikan gambar tular yang mendakwa warga asing termasuk Rohingya memasuki kawasan Kompleks LKIM Pulau Kambing, Kuala Terengganu, untuk menjalankan aktiviti pemunggahan hasil laut. - Gambar fail/Media sosial

KUALA TERENGGANU: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menafikan  gambar tular yang memaparkan sekumpulan etnik Rohingya menjalankan aktiviti ulang-alik memunggah ikan berlaku di sekitar Pulau Kambing, dekat sini.

Pengerusi LKIM Muhammad Faiz Fadzil berkata sepasukan anggota penguat kuasa LKIM Terengganu telah diarahkan membuat pemantauan berkala dan pemeriksaan rapi di lokasi itu sejurus gambar berkenaan tular.

Bagaimanapun, beliau berkata siasatan mendapati tiada sebarang aktiviti pemunggahan berlaku di lokasi kejadian seperti didakwa dan ditularkan sesetengah pihak tidak bertanggungjawab.

"Merujuk kepada satu hantaran tular oleh pengguna media sosial, LKIM telah mengarahkan siasatan dijalankan di sekitar Pulau Kambing, dekat sini kerana Kompleks LKIM berada dalam kawasan berkenaan.

"Bagaimanapun, berdasarkan pemantauan dan siasatan, tiada sebarang aktiviti pemunggahan ikan oleh mana-mana warga asing etnik Rohingya dijalankan di Kompleks LKIM dan sekitarnya. LKIM ingin menegaskan gambar yang tular bukan berlaku di LKIM Pulau Kambing," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama Muhammad Faiz berkata pihaknya memandang serius sebarang penularan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan imej agensi serta menggugat ketenteraman orang awam.

"LKIM tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap bahagian pengurusan atau mana-mana pihak yang melakukan pelanggaran undang-undang," katanya.

Beliau berkata LKIM sentiasa komited dalam memastikan peraturan, undang-undang dan prosedur operasi standard (SOP) pengurusan kompleks pendaratan ikan dipatuhi sepenuhnya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement