Skip to main content

Malaysia

Melaka peruntukan lebih RM196 juta bagi sektor pendidikan

12 Jun 2026 - Alhamdulillah, pada penghulu segala hari ini saya bersama barisan kepimpinan Negeri Melaka berpeluang menyantuni lebih 1,200 pelajar hebat SMK Sultan Alauddin dalam Program Motivasi Kecemerlangan Pelajar dan Penyerahan Sumbangan Bantuan Persekolahan Yayasan Pelajaran Mara-YPM.
Pelajar pada Program Motivasi Kecemerlangan Pelajar dan Penyerahan Sumbangan Bantuan Persekolahan Yayasan Pelajaran MARA di SMK Sultan Alauddin, Masjid Tanah, hari ini. - Gambar Bernama

ALOR GAJAH: Kerajaan Negeri Melaka memperuntukkan lebih RM196 juta bagi sektor pendidikan di negeri itu sejak tiga tahun lepas, kata Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata ia satu bentuk 'pelaburan' bagi memastikan Melaka terus maju dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang, dan peruntukan itu disalurkan untuk melaksanakan pelbagai inisiatif pendidikan yang memberikan manfaat kepada lebih 140,000 anak-anak Melaka.

"Kerajaan negeri melaksanakan tuisyen percuma, beri bantuan persiapan persekolahan kepada golongan B40. Kerajaan negeri memperuntukkan lagi RM15 juta menerusi bantuan Program Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) Pendidikan Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM),

“Kita anjurkan juga pertandingan sukan yang juga melibatkan peruntukan besar, khusus buat anak-anak Parlimen Masjid Tanah," katanya ketika berucap pada Program Motivasi Kecemerlangan Pelajar dan Penyerahan Sumbangan Bantuan Persekolahan Yayasan Pelajaran MARA di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Alauddin, Masjid Tanah, di sini hari ini.

Turut hadir Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer dan Pengerusi Yayasan Pelajaran MARA Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said.

Pada majlis berkenaan, Yayasan Pelajaran MARA menyumbang wang tunai berjumlah RM10,000 kepada 100 pelajar daripada kumpulan asnaf dan B40.

Beliau berkata hasil daripada usaha bersepadu bersama warga Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka dan pihak sekolah, pencapaian peperiksaan awam seperti Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di Melaka terus menunjukkan peningkatan yang membanggakan dari tahun ke tahun.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita, Ab Rauf yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata UMNO Melaka sedia membuka pintu kerjasama dengan mana-mana pihak bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijangka diadakan pada tahun ini.

Ab Rauf yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka berkata bagaimanapun kerjasama itu perlu memanfaatkan kepada pihak yang terlibat.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement