MALAYSIA
JKDM Johor patah cubaan edar 3.825 kg dadah melalui kurier, laluan air

Aminul Izmeer berkata serbuan pertama dilakukan bahagian penguatkuasaan menerusi sepasukan anggota Cawangan Narkotik Johor di sekitar Pekan Nanas, Pontian pada 21 Mei lepas. - Gambar JKDM Johor
JOHOR BAHRU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor berjaya mematahkan dua cubaan pengedaran dadah keseluruhan seberat 3.825 kilogram (kg) menggunakan perkhidmatan kurier dan laluan air tidak sah di Pontian serta Batu Pahat, pada Mei dan Jun lepas.
Pengarahnya Aminul Izmeer Mohd Sohaimi berkata serbuan pertama dilakukan bahagian penguatkuasaan menerusi sepasukan anggota Cawangan Narkotik Johor di sekitar Pekan Nanas, Pontian pada 21 Mei lepas.
Beliau berkata hasil pemeriksaan terhadap dua bungkusan Pos Laju menemukan dua ketulan tumbuhan mampat disyaki ganja dianggarkan seberat 130 gram dan 97 gram.
"Susulan itu, seorang lelaki berusia sekitar 40-an dipercayai bertindak sebagai penghantar ditahan untuk siasatan lanjut. Turut ditemukan satu beg berwarna hitam mengandungi tumbuhan disyaki ganja seberat 55 gram, tiga botol alat penghisap ganja dan satu unit alat pengisar."Jumlah keseluruhan dadah dirampas dalam serbuan itu ialah 762 gram bernilai RM22,860, selain sebuah motorsikal bernilai RM10,000, " katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Aminul Izmeer berkata sepasukan pegawai unit marin Cawangan Penguatkuasaan Batu Pahat pula telah menyerbu sebuah bot tidak berdaftar yang ditambat di kawasan hutan paya bakau berhampiran Terminal Feri Batu Pahat, pada 5 Jun lepas.
"Hasil pemeriksaan menemui sebuah beg mengandungi tiga bungkusan mampat disyaki ganja yang dibalut dalam bungkusan teh Cina seberat 3.063 kg bernilai RM98,016 di bahagian hadapan bot. Turut disita bot berkenaan bernilai RM4,000," katanya.
Beliau berkata kedua-dua kes tersebut disiasat mengikut mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Beliau turut menyeru orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau mengunjungi pejabat kastam berhampiran dengan jaminan identiti pemberi maklumat dirahsiakan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami