Skip to main content

Malaysia

JKM tambah baik PPS, sedia kemudahan sokongan untuk OKU hadapi musim tengkujuh

BANGI, 22 Ogos -- Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat Datuk Che Murad Sayang Ramjan bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Sukarelawan Jabatan Kebajikan Masyarakat Tahun 2026 di Pusat Konvensyen Bangi Aveneu malam ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Che Murad berkata antara penambahbaikan yang diberi perhatian ialah penyediaan ruang khusus untuk OKU serta kemudahan sokongan seperti jurubahasa bagi mereka yang mempunyai masalah pendengaran. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

NIBONG TEBAL: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang menambah baik kemudahan di pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negara bagi memastikan keperluan golongan Orang Kurang Upaya (OKU), terutama kategori penglihatan dan pendengaran diberikan perhatian sewajarnya ketika menghadapi musim tengkujuh.

Ketua Pengarah JKM Datuk Che Murad Sayang Ramjan berkata antara penambahbaikan yang diberi perhatian ialah penyediaan ruang khusus untuk OKU serta kemudahan sokongan seperti jurubahasa bagi mereka yang mempunyai masalah pendengaran.

“Golongan OKU juga minta supaya hak mereka diberi perhatian di PPS. OKU ini banyak kategori, ada penglihatan dan ada pendengaran. Bagi kategori pendengaran, mereka minta jurubahasa manakala kategori penglihatan mahu ruang untuk mereka.

“Itu yang kami beri perhatian. Sebab itu saya katakan dari segi persiapan, JKM sentiasa menambah baik. Apa sahaja keperluan untuk semua golongan ini, termasuk bagi mereka yang sakit terlantar dan sebagainya, supaya kebajikan mereka terjaga,” katanya selepas merasmikan Program Latih Amal dan Simulasi Pengurusan PPS Peringkat Pulau Pinang di Dewan Serbaguna Sungai Jawi di sini hari ini.

Che Murad berkata kesiapsiagaan JKM menghadapi musim tengkujuh turut meliputi aspek logistik, termasuk memastikan depoh bekalan bencana mempunyai stok mencukupi untuk menampung keperluan mangsa sekurang-kurangnya tiga hingga empat hari sebelum bantuan tambahan daripada agensi berkaitan tiba.

Menurut Che Murad, latihan simulasi pengurusan PPS yang dilaksanakan setiap tahun penting bagi memastikan semua agensi berkaitan sentiasa bersedia serta memberi kefahaman kepada masyarakat mengenai tindakan yang perlu diambil sekiranya berlaku bencana.

Beliau ketika mengulas mengenai kawasan yang diberi perhatian menjelang musim tengkujuh berkata JKM sentiasa mendapatkan perkembangan terkini daripada Jabatan Meteorologi Malaysia, dengan tumpuan khusus kepada negeri yang berpotensi berdepan risiko banjir, terutama di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Johor.

“JKM turut memastikan 6,000 sukarelawan kami sentiasa diberikan latihan amal bagi membolehkan mereka digerakkan apabila diperlukan.

“Sebanyak 9,000 PPS telah dikenal pasti di seluruh negara, namun tidak semua pusat berkenaan perlu diaktifkan secara serentak kerana kejadian banjir lazimnya hanya melibatkan negeri atau kawasan tertentu pada satu-satu masa,” katanya.

Che Murad berkata JKM turut bekerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam pengurusan pusat pemindahan kekal, dengan 18 pusat pemindahan tetap kini dikendalikan agensi berkenaan dan penugasannya dilaksanakan bersama JKM.

Beliau berkata JKM juga menggalakkan pemimpin masyarakat dan orang ramai memuat turun aplikasi MyBIJKM bagi membolehkan maklumat isi rumah, termasuk status OKU, warga emas dan individu yang memerlukan bantuan direkodkan lebih awal.

Menurut Che Murad, maklumat yang diperoleh sebelum bencana membolehkan persiapan bantuan dibuat dengan lebih cepat dan bersasar, termasuk bagi golongan OKU serta pesakit terlantar.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement