JKM utamakan sokongan psikologi di PPS, bukan sekadar sedia keperluan asas

JKM utamakan sokongan psikologi di PPS, termasuk PFA dan kaunseling, bagi bantu mangsa banjir stabil dari segi emosi dan trauma. -Foto JKM
PUTRAJAYA: Dalam kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2025/2026, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menegaskan peranan mereka di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bukan sekadar menyediakan keperluan asas, tetapi turut menekankan sokongan psikologi bagi memastikan kesejahteraan emosi mangsa bencana.
Ringkasan AI
- JKM menegaskan bahawa peranan mereka di PPS tidak terhad kepada penyediaan keperluan asas semata-mata, tetapi juga memberikan sokongan psikologi kepada mangsa bencana untuk memastikan kesejahteraan emosi mereka.
- Intervensi Krisis dan Sokongan Psikologi (IKSP) yang dilaksanakan di seluruh negara termasuk Psychological First Aid (PFA) dan Psychological Debriefing (PD) bagi membantu mangsa menguruskan emosi dan reaksi terhadap peristiwa traumatik.
- Selain itu, sesi kaunseling, penaksiran psikologi, psikoterapi, dan psikopendidikan turut ditawarkan untuk membantu mangsa memahami dan mengurus emosi dengan lebih berkesan.
"Sebab itu, selain menyediakan keperluan asas di PPS, JKM mengutamakan sokongan psikologi agar mereka mampu bertenang dan kembali menyesuaikan diri dalam keadaan krisis,” katanya dalam temu bual AWANI Pagi, pada Rabu.
Beliau menjelaskan perkhidmatan tersebut dilaksanakan melalui Intervensi Krisis dan Sokongan Psikologi (IKSP) yang dikendalikan Pegawai Psikologi dan Penolong Pegawai Psikologi JKM di seluruh negara mengikut Garis Panduan Pengendalian IKSP dalam Pengurusan Bencana.
Antara intervensi yang disediakan termasuk Psychological First Aid (PFA) bagi menstabilkan emosi awal mangsa, serta Psychological Debriefing (PD), iaitu sesi terancang untuk membantu mereka meluahkan pengalaman dan reaksi terhadap peristiwa traumatik secara terkawal.
Turut ditawarkan ialah sesi kaunseling dan bimbingan, penaksiran psikologi menggunakan alat saringan seperti DASS-21, IES-R dan PHQ-9, selain psikoterapi melalui pendekatan seperti Terapi Tingkah Laku Kognitif (CBT) dan Terapi Sokongan.
Mangsa juga diberikan psikopendidikan bagi membantu mereka memahami dan mengurus emosi dengan lebih berkesan.
Menurut Datuk Che Murad Sayang, peningkatan kes trauma dan tekanan emosi menjadikan sokongan psikologi di PPS sebagai fokus penting JKM.
“Kami mahu mangsa dibantu secara menyeluruh — bukan sekadar diberi tempat berlindung, tetapi juga diperkukuh dari segi mental dan emosi untuk bangkit semula selepas bencana,” katanya.
Dengan pendekatan intervensi yang sistematik dan tenaga terlatih, JKM berharap perkhidmatan psikologi ini dapat membantu mangsa kembali stabil dan berdaya tindak dalam menghadapi cabaran selepas bencana.
Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
- Q: Apakah peranan utama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) ketika berlaku bencana banjir? A: JKM tidak hanya menyediakan keperluan asas di PPS, tetapi juga memberikan sokongan psikologi kepada mangsa untuk memastikan kesejahteraan emosi mereka.
- Q: Apa yang termasuk dalam Intervensi Krisis dan Sokongan Psikologi (IKSP) yang dilaksanakan oleh JKM? A: IKSP termasuk Psychological First Aid (PFA) untuk menstabilkan emosi awal mangsa, Psychological Debriefing (PD) untuk membantu mereka meluahkan pengalaman traumatik, serta sesi kaunseling, penaksiran psikologi, psikoterapi, dan psikopendidikan.
- Q: Mengapakah penting bagi JKM untuk memberikan sokongan psikologi kepada mangsa bencana di PPS? A: Penekanan pada sokongan psikologi bertujuan untuk memperkukuh kesejahteraan mental dan emosi mangsa, membantu mereka bangkit semula selepas bencana, serta membantu mangsa menghadapi cabaran selepas bencana dengan lebih berdaya tindak.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

