Skip to main content

Malaysia

JKPK diberi tiga bulan teliti RUU Kebebasan Maklumat, RUU Admiralti 2026 - Azalina

PUTRAJAYA, 3 Ogos -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said (tengah) bercakap pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Ogos 2026 di Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) hari ini._BERNAMA
Azalina berkata laporan akhir penelitian serta syor penambahbaikan daripada kedua-dua JKPK itu dijangka dikemukakan kepada Parlimen pada sidang akan datang. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Parlimen diberi tempoh tiga bulan bagi melaksanakan penelitian menyeluruh terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Kebebasan Maklumat 2026 dan RUU Bidang Kuasa Admiralti 2026 sebelum mengemukakan syor penambahbaikan kepada Parlimen. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata penelitian melalui JKPK itu menterjemahkan komitmen Kerajaan MADANI untuk memperkukuh agenda reformasi perundangan secara telus dan inklusif berpaksikan penelitian Parlimen.

“Kedua-dua Jawatankuasa diberi tempoh tiga bulan bagi melaksanakan penelitian menyeluruh terhadap beberapa aspek dan skop bagi setiap cadangan perundangan tersebut melalui beberapa siri mesyuarat yang bermula hari ini. 

“Dalam proses ini, Jawatankuasa akan mengadakan libat urus bagi mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak berkepentingan termasuk kementerian, agensi kerajaan, pakar perundangan, ahli akademik, badan profesional, pemain industri, Majlis Peguam Malaysia serta wakil badan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan masyarakat sivil (CSO),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azalina berkata beliau telah mempengerusikan Mesyuarat Pertama kedua-dua JKPK berkenaan hari ini, susulan persetujuan Dewan Rakyat pada sidang Julai lepas untuk membawa kedua-dua RUU berkenaan bagi penelitian lanjut. 

Beliau berkata penggubalan RUU Kebebasan Maklumat 2026 bertujuan memperkukuh hak rakyat terhadap akses kepada maklumat melalui kerangka perundangan yang seimbang, telus dan bertanggungjawab. 

RUU Bidang Kuasa Admiralti 2026 pula katanya, dirangka bagi memodenkan kerangka perundangan maritim negara selaras dengan amalan terbaik antarabangsa untuk memperkukuh daya saing serta kedudukan Malaysia sebagai hab maritim global. 

Azalina berkata laporan akhir penelitian serta syor penambahbaikan daripada kedua-dua JKPK itu dijangka dikemukakan kepada Parlimen pada sidang akan datang. 

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement