JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor dijangka merombak semula portfolio Exco negeri dalam masa terdekat.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengesahkan perkara itu dan ia akan diumumkan pada minggu depan.

"Ya akan ada rombakan (barisan Exco) tetapi yang minimum.

"Kita mahu perkasakan urusan kerajaan negeri," katanya pada sidang akhbar di Bangunan UMNO Johor pada Ahad.

Hadir sama, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Timbalan Pengerusi UMNO Johor Datuk Seri Ahmad Maslan.

Rombakan portfolio Exco itu merupakan kali pertama sepanjang Onn Hafiz menjawat jawatan Menteri Besar Johor selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Mac 2022.

Khamis lalu, Onn Hafiz ketika majlis Tahun Baharu Cina di Kediaman Rasmi Menteri Besar bersama masyarakat Tionghoa Johor dalam ucapannya dilaporkan berkata beliau akan mengambil alih portfolio pelancongan.

Ia sekali gus memberi isyarat akan berlaku rombakan portfolio barisan Exco yang sebelum ini sering diperkatakan.

Onn Hafiz sebelum ini memegang portfolio Pelancongan, Belia dan Sukan sebelum mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor ke-19 pada 15 Mac 2022.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya negeri kini disandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenggaroh, K Raven Kumar. -Sinar Harian