ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Johor akan bekerjasama dengan Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM) dan Kolej Pengajian Islam Johor (MARSAH) bagi melahirkan imam muda yang bertauliah dalam kalangan graduan.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Mohd Fared Mohd Khalid berkata langkah itu bagi mengatasi isu kekurangan imam, bilal dan noja seperti di kawasan kampung atau perumahan di Johor.

Beliau berkata kerjasama dilakukan memandangkan UTHM dan MARSAH masing-masing melahirkan imam muda dalam kalangan graduan pada setiap tahun.

"UTHM menerusi Program Eksekutif Imam Profesional saban tahun lahirkan 85 imam muda, manakala MARSAH pula menyediakan 500 imam muda setiap tahun menerusi Program Imam Muda Muslih.

"Mereka akan diberikan kursus bagi tauliah imam dan juga bilal, jadi pada setiap tahun Johor akan mengeluarkan imam muda yang bukan sahaja terlatih bahkan terpelajar," katanya kepada pemberita di luar persidangan Dewan Undangan Negeri Johor di sini Isnin.

Beliau berkata antara faktor kekurangan imam di negeri itu adalah masalah kesihatan dan perpindahan.

Katanya berikutan itu Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) harus menampung kekurangan yang dihadapi dengan segera.

Sehubungan itu beliau berkata langkah awal turut diambil antaranya membenarkan warga tempatan menjalani kursus bagi menjadi imam dan bilal sementara di sesuatu kawasan di negeri ini.

Mohd Fared berkata setakat ini, Johor mempunyai 838 masjid dan 1,942 surau, manakala pegawai masjid seramai 4,463 orang yang terdiri daripada imam, bilal dan noja.

-- BERNAMA