JOHOR BAHRU: Johor telah menerima 9.14 juta pelancong sejak pembukaan semula sempadan antarabangsa pada April 2022, yang juga merupakan jumlah tertinggi berbanding negara ASEAN lain.

Menerusi satu hantaran di Facebook rasminya pada Isnin, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata kerajaan negeri juga optimis untuk mencapai sasaran ketibaan 10 juta pelancong untuk tahun ini.

Justeru, beliau berkata menerusi kerjasama dan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta agensi berkaitan, misi menjadikan Johor sebagai destinasi pelancongan utama negara mampu direalisasikan.

"Kerajaan negeri Johor menzahirkan ucapan terima kasih kepada Menteri MOTAC Datuk Seri Tiong King Sing kerana bersetuju menyalurkan peruntukan sebanyak RM3.5 juta bagi kerja-kerja menaik taraf infrastruktur kawasan pelancongan di Johor.

"Johor merupakan sebuah negeri yang mempunyai potensi besar dalam sektor pelancongan, ia termasuk dengan keindahan pulau-pulau, taman negara, warisan budaya dan sejarah, festival ikonik dan syurga makanan," katanya menerusi hantaran tersebut.

Onn Hafiz berkata sebagai contoh, daerah Mersing yang terkenal dengan keindahan pulau, taman negara yang kaya dengan khazanah alam, serta Kampung Sungai Melayu boleh dijadikan sebagai ekopelancongan, antara lokasi yang mampu diketengahkan.

-- BERNAMA