JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri mengumumkan cuti peristiwa pada 17 Disember ini susulan kemenangan pasukan bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) menjuarai Piala Malaysia dan Liga Super Malaysia.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Azmi Rohani berkata, pemberian cuti khas hari peristiwa itu bertujuan meraikan kejayaan gemilang JDT.

"Menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, dengan ini kerajaan negeri Johor memutuskan untuk mengisytiharkan Ahad iaitu 17 Disember ini sebagai hari cuti khas peristiwa bagi seluruh rakyat Johor.

"Pemberian cuti khas peristiwa ini merupakan penghargaan kerajaan negeri kepada pihak terlibat dan rakyat Johor yang memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada pasukan bola sepak JDT yang telah melakar sejarahnya tersendiri dalam arena bola sepak negara.

"Ini juga meraikan kejayaan JDT dalam menjulang trofi Piala Malaysia pada malam tadi," katanya dalam satu kenyataan Sabtu.

Azmi berkata, keputusan pengisytiharan cuti khas peristiwa itu adalah selaras peruntukan kuasa yang diberikan di bawah Seksyen 9(1) Akta Hari Kelepasan Am 1951 [Akta 369].

Pada malam Jumaat, JDT menewaskan Terengganu FC 3-1 dalam aksi final Piala Malaysia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, sekali gus menyapu bersih empat piala yang dipertandingkan dalam kancah bola sepak Malaysia.

Sebelum ini, skuad Harimau Selatan berjaya mempertahankan Piala Sumbangsih, Piala FA dan Liga Super biarpun masih berbaki dua perlawanan. - Sinar Harian