KUALA LUMPUR: Pereka fesyen terkenal, Datuk Jovian Mandagie menafikan beliau dilantik sebagai naib pengerusi eksekutif baharu dalam syarikat pengeluar pakaian, Caely Holdings.

Beliau dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, makluman Caely kepada Bursa Malaysia mengenai pelantikannya itu adalah “palsu, tidak benar dan mengelirukan orang ramai”.

Menurutnya, beliau ada menghadiri mesyuarat bersama wakil Caely Holdings, Dato’ Loh Ming Choon pada 13 Jun 2022 berbincang mengenai potensi kerjasama antaranya dan Caely Holdings.

“Wakil tersebut juga telah menawarkan kedudukan sebagai naib pengerusi eksekutif (TPE) Caely Holdings di mana ia bertujuan untuk merombak dan/atau mengembangkan bahagian pakaian Caely Holding. Namun tiada apa-apa kata persetujuan yang berjaya tercapai.

"Saya tidak menerima pelantikan sebagai TPE Caely Holdings. Saya juga ingin menekankan bahawa saya tidak menandatangani apa-apa borang dan/atau persetujuan yang membolehkan saya untuk menerima pelantikan sebagai TPE tersebut.

“Oleh demikian, saya dengan ini ingin menyatakan bahawa pengumuman oleh Caely Holdings berkaitan pelantikan saya adalah palsu, tidak benar dan mengelirukan orang ramai,” katanya.

Tambah beliau, pengumuman tidak benar itu telah menconteng arang ke atas reputasinya dari sudut korporat, bisnes dan secara individu.

“Saya mengambil hal ini dengan serius dan saya akan mendapatkan nasihat guaman mengenai hal ini demi mencari cara untuk melaporkan kesalahan sedemikian kepada pihak berkuasa yang berkenaan,” ujarnya.

Caely menyaksikan rombakan lembaga pengarah pada Rabu yang membawa kepada penyingkiran sembilan pengarah dan pelantikan empat pengarah baharu.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Selasa, Caely mengumumkan pelantikan Jovian sebagai naib pengerusi eksekutifnya.