MALAYSIA
JPJ Kelantan sita 13 kereta mewah bernilai hampir RM5 juta

Mohd Misuari (tiga dari kanan) bersama pegawainya menunjukkan sebuah kereta mewah jenis Nissan GTR yang disita oleh JPJ kerana beberapa kesalahan. - Gambar Bernama
KOTA BHARU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan menyita 13 daripada 15 kenderaan mewah bernilai hampir RM5 juta yang diperiksa sepanjang pelaksanaan Operasi Khas Luxury di seluruh negeri sejak 1 Julai lepas.
Pengarah JPJ Kelantan Mohd Misuari Abdullah berkata operasi yang memberikan tumpuan kepada kenderaan import dan mewah itu dilaksanakan bagi memastikan tahap pematuhan undang-undang jalan raya berada pada tahap tertinggi.
Beliau berkata antara kesalahan utama yang dikesan ialah Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh mengikut Seksyen 23(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, tiada perlindungan insurans di bawah Seksyen 90(1), memandu tanpa lesen mengikut Seksyen 26(1), serta pemalsuan dokumen di bawah Seksyen 108 APJ 1987.
"Lebih membimbangkan, ada pemilik kereta mewah sanggup menggunakan nombor pendaftaran palsu bagi mengelak dikesan pihak berkuasa, selain kes kenderaan mewah dipandu warga asing tanpa lesen memandu yang sah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.Beliau berkata antara kenderaan yang diambil tindakan ialah Toyota Vellfire, Toyota Alphard, BMW 523i Limousine, Ford Mustang Fastback, Mercedes E250 CGI, Nissan GTR dan beberapa model mewah lain.
Menurut Mohd Misuari, memiliki kereta mewah bukan alasan untuk terlepas daripada tindakan undang-undang dan pihak JPJ sentiasa memantau tindak-tanduk pemilik kenderaan terbabit.
Sementara itu, bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini, statistik JPJ Kelantan merekodkan 10,233 kesalahan melibatkan LKM tamat tempoh, 8,432 kes tiada perlindungan insurans dan 11,004 kes memandu tanpa lesen.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami