MELAKA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengutip hasil berjumlah RM4.6 bilion sehingga 11 Dis lepas iaitu melebihi sasaran RM4.12 bilion tahun ini.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Zailani Hashim berkata kutipan berkenaan direkodkan menerusi pembayaran di 15 kaunter stesen ibu pejabat JPJ, 66 pejabat cawangan selain 22 cawangan di Pusat Transformasi Bandar (UTC) serta Kaunter Bergerak JPJ dan Kios Layan Diri JPJ.

"Jika dilihat daripada hasil itu kira-kira RM12 juta dikutip setiap hari di seluruh negara dan bagi hasil tertinggi kutipan menerusi Lesen Kenderaan Motor iaitu RM2.63 bilion berdasarkan rekod sehingga Oktober lepas.

"Ia diikuti kutipan hasil untuk Lesen Memandu sebanyak RM483 juta, JPJ e-BID (RM421 juta), Bayaran Pendaftaran Kenderaan (RM134 juta) dan Bayaran Menyelesaikan Tanpa Perbicaraan (RM119 juta)," katanya kepada pemberita di Tiang Dua, Ayer Molek di sini hari ini.

Terdahulu, beliau hadir pada Majlis Penghargaan Akademi JPJ bersama Media yang turut dihadiri Pengarah JPJ Melaka Muhammad Firdaus Shariff dan Pengarah Akademi JPJ Mohamad Kifli Ma Hasan.

Zailani berkata JPJ telah melaksanakan sistem pengujian lesen memandu secara automasi atau e-Testing di seluruh negara sejak pertengahan tahun ini bagi mengatasi lambakan di institut memandu.

Beliau berkata sistem e-Testing iaitu pengujian lesen memandu yang diadakan secara elektronik itu lebih cekap, cepat dan efisien dari segi pengeluaran kelulusan selain mengurangkan jumlah penguji JPJ di lapangan.

"Jadi kita boleh gerakkan penguji JPJ bagi tugas penguatkuasaan dan lain-lain dengan e-Testing, jika dahulu kita gunakan secara manual setiap petugas akan mempunyai enam hingga tujuh calon.

"Melalui sistem e-Testing ini institut memandu boleh mengambil lebih ramai dan mengeluarkan lesen dengan cepat dan ini secara tidak langsung mengurangkan masalah lambakan calon menunggu giliran mengambil lesen ekoran sekatan pergerakan akibat COVID-19 (sebelum ini)," katanya.

Sementara itu, beliau berkata keputusan Laporan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA) membabitkan pemandu lori dalam kemalangan di Gerik, Perak pada Oktober lepas akan diserahkan kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Katanya, pengantungan permit dan tempoh membabitkan kendaraan itu akan dimaklumkan oleh APAD manakala penggantungan lesen memandu dan pendakwaan akan dilakukan oleh pihak polis di mahkamah," katanya.

Media melaporkan pada 13 Dis lepas Menteri Pengangkutan Anthony Loke menerusi kenyataan di laman Facebooknya mengarahkan JPJ dan APAD mengambil tindakan terhadap pemandu dan syarikat lori yang terlibat dalam kemalangan di Gerik itu hingga menyebabkan seorang bayi maut seperti tular di media sosial baru-baru ini.

-- BERNAMA