Tiada unsur politik.

Itu tegas Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Shaharuddin Khalid, menjawab dakwaan kononnya pemberian diskaun 70 peratus sebagai strategi pihak kerajaan bagi memenangi hati rakyat.

"Pihak JPJ tiada kaitan dengan mana-mana parti politik. Pemberian diskaun ini adalah satu kemudahan dan bukti keprihatinan kami kepada rakyat Malaysia," kata beliau ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Shaharuddin menjelaskan, insentif yang diumumkan sempena Sambutan Hari JPJ Ke-72 Peringkat Kebangsaan semalam merupakan satu strategi bagi menyerlahkan imej JPJ kepada masyarakat.

Beliau turut berkata, idea diskaun itu merupakan ilham daripada pegawai JPJ sendiri dan tidak bermotifkan politik melainkan memberi kelonggaran kepada masyarakat yang dibebani dengan pelbagai kos sara hidup.

Ujarnya lagi, pada hari ini, jumlah orang membayar saman meningkat, lebih-lebih lagi kerana diskaun itu hanya ditawarkan sehingga 2 Mei sahaja.

Harapan beliau, diskaun tersebut akan meningkatkan jumlah pembayar saman kerana mengikut purata tahun-tahun sebelum ini, hanya 65 peratus saman sahaja dibayar.

Bagaimanapun, diskaun 70 peratus itu dikecualikan bagi kesalahan dibawah Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS), kompaun Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES), Kesalahan Berat Dengan Muatan (BDM) atau lebih muatan bagi kenderaan lebih lima tan, saman mahkamah serta saman dan kompaun membabitkan warga asing.