KUALA LUMPUR: Tiada sebarang kecederaan dilaporkan melibatkan pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di Pendang, Kedah susulan kejadian ribut dan hujan lebat yang melanda institusi itu petang tadi.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata beliau telah menerima laporan kejadian berkenaan dan mengarahkan pihak maktab untuk terus melakukan pemantauan serta pemeriksaan berkala bagi memastikan keselamatan dan kebajikan pelajar sentiasa terpelihara.
Advertisement
“Saya dimaklumkan blok asrama, surau, blok akademik serta dewan makan tidak terjejas malah bekalan elektrik di kawasan itu masih berfungsi seperti biasa.
“Namun, blok pentadbiran mengalami kerosakan yang agak teruk melibatkan bilik guru, dewan kuliah, makmal komputer, bilik kaunselor serta bilik pendidikan seni, dan bekalan elektrik di blok ini telah terputus,” katanya menerusi hantaran di Facebook malam ini.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata Pengarah Bahagian Pendidikan Menengah (BPM) MARA telah diarahkan mengambil tindakan segera bagi memastikan pelajar berada dalam keadaan selamat selain Peruntukan Khas Darurat juga akan disalurkan bagi membolehkan kerja-kerja pembaikian dilaksanakan.
“Keselamatan dan kebajikan pelajar serta guru-guru sentiasa menjadi keutamaan. Saya akan terus memantau perkembangan dari semasa ke semasa,” katanya.
-- BERNAMA