MALAYSIA
JPJ Perlis sita kereta mewah milik ahli perniagaan

Noraini (kiri) melihat antara kenderaan mewah jenis Nissan GTR R35 dan Alphard milik ahli perniagaan yang disita ketika sidang media Ops Luxury di Ibu Pejabat JPJ Perlis. - Gambar Bernama
ARAU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis menyita sebuah kereta mewah jenis Nissan GTR R35 milik ahli perniagaan dari Kedah kerana cukai jalan dan perlindungan insurans tamat tempoh sejak Mei lepas.
Pengarah JPJ Perlis Noraini Mohd Nawi berkata pihaknya menahan kereta dengan nilai anggaran semasa kira-kira RM350,000 milik lelaki berusia 40-an itu di Jalan Chuping-Padang Besar semasa rondaan Op Luxury kira-kira 4 petang semalam.
"Difahamkan lelaki itu ke Perlis kerana mempunyai urusan di Padang Besar dan mendakwa tidak menyedari cukai jalan kereta tersebut tamat tempoh," katanya pada sidang media di ibu pejabat JPJ Perlis di sini hari ini.
Sementara itu, Noraini berkata pihaknya menyita 80 kenderaan termasuk tujuh kenderaan mewah dari 1 Jan hingga setakat ini, atas pelbagai kesalahan seperti cukai jalan tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans serta pemandu tiada lesen memandu.Beliau berkata tujuh kenderaan mewah terlibat ditahan dalam Op Luxury bermula 1 Ogos yang menumpukan kepada kenderaan mewah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan.
Dalam pada itu, Noraini berkata JPJ Perlis mengeluarkan Notis 114 kepada 60 kenderaan perdagangan kerana tiada Slip Pengesahan Kefungsian Speed Limitation Device (SLD) dari 1 Okt hingga semalam.
"JPJ Perlis menyeru semua pemilik kenderaan termasuk kenderaan mewah untuk memastikan dokumen kenderaan sentiasa dikemas kini dan tidak menunggu hingga dikenakan tindakan penguatkuasaan," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami