KUALA LUMPUR : Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyerbu sebuah syarikat pengendali e-hailing (EHO), di Bukit Bintang, di sini kerana beroperasi dengan lesen perniagaan pengantara tamat tempoh.

Ketua Pengarahnya, Datuk Zailani Hashim berkata, serbuan dilakukan 7 September lalu melalui Ops e-Hailing berdasarkan maklumat Agensi Pengangkutan Awam Darat Malaysia (APAD).

Zailani berkata, dalam serbuan itu, JPJ berjaya menyita beberapa peralatan komputer dan barangan pengiklanan operasi syarikat untuk siasatan  di bawah Seksyen 222, APAD 2010. 

"Tindakan penguatkuasaan JPJ ini juga adalah selaras dengan Seksyen 12A  APAD 2010, iaitu Syarikat disyaki mengendalikan atau mengadakan perniagaan pengantaraan tanpa lesen pengantara yang sah dan boleh disabitkan hukuman di bawah Seksyen 12A (1)(8), yang memperuntukkan denda sebanyak tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika didapati bersalah," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

JPJ juga katanya akan terus memantau perkhidmatan syarikat pengantar e-hailing bagi mengesan mana-mana syarikat yang mengendalikan perniagaan  tanpa lesen dan kenderaan-kenderaan e-hailing yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (Akta 334) dan APAD2010 (Akta715).

"Pihak JPJ ingin menasihatkan kepada mana-mana Syarikat yang hendak menjalankan perniagaan pengantara dan pemandu-pemandu kenderaan e-hailing supaya berdaftar serta dilesenkan di bawah APAD atau Lembaga Pelesenan KenderaanPerdagangan (LPKP).

"Selain daripada itu, orang awam yang menjadi penumpang perkhidmatan kenderaan e-hailing ini juga adalah dinasihatkan untuk memastikan aplikasi tersebut adalah berdaftar serta dilesenkan, supaya penumpang akan mendapat jaminan perlindungan insurans semasa menggunakan perkhidmatan tersebut," ujarnya.