Skip to main content

Malaysia

JPJ sita 37 kenderaan ubah suai ekstrem

KUALA LUMPUR, 8 Sept - Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Aedy Fadly Ramli (tengah) bersama Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan (kanan) melihat kereta yang diubah suai secara ekstrem pada sidang media di JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) malam ini. Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyita 37 kenderaan yang dikesan melakukan pengubahsuaian melampau, termasuk penggunaan sistem suspensi udara (air suspension), menerusi Ops Ekstrem yang dijalankan Ahad le
Aedy Fadly (tengah) bersama Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan (kanan) melihat kereta yang diubah suai secara ekstrem pada sidang media di JPJ WPKL, Kuala Lumpur, malam tadi. --fotoBERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyita 37 kenderaan yang dikesan melakukan pengubahsuaian melampau termasuk penggunaan sistem suspensi udara menerusi Op Ekstrem yang dijalankan pada Ahad lepas. 

Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata jabatan berkenaan tidak akan melepaskan kenderaan yang disita sehinggalah pemilik dikenakan tindakan undang-undang dan kenderaan tersebut dikembalikan kepada spesifikasi serta bentuk asal. 

Beliau berkata operasi yang bermula dari 1 hingga 5 pagi di sekitar ibu negara, terutama di Jalan Raja Laut itu, telah memeriksa sebanyak 156 kenderaan dengan 97 daripadanya diambil tindakan atas pelbagai kesalahan. 

"Ada kenderaan diubah suai sehingga badannya terlalu rendah dan hampir mencecah permukaan jalan, malah ada pemilik membelanjakan hingga RM150,000 bagi mengubah suai ekzos kenderaan yang mengeluarkan api. 

"Jalan raya bukan medan untuk mempamerkan pengubahsuaian ekstrem yang menguji keupayaan kenderaan sehingga mengganggu ketenteraman serta mengancam keselamatan pengguna jalan raya yang lain," katanya pada sidang media di JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL), malam tadi.

Secara keseluruhan, Aedy Fadly berkata 485 notis telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dengan jumlah tertinggi melibatkan nombor pendaftaran tidak mematuhi spesifikasi, iaitu sebanyak 97 kes. 

Beliau berkata kesalahan lain membabitkan ekzos (77 kes), Lesen Kenderaan Motor tamat tempoh (66 kes), tiada perlindungan insurans (57 kes), cermin gelap (44 kes) serta pengubahsuaian bentuk kenderaan (11 kes). 

Berhubung trend penggunaan sistem suspensi udara yang menelan kos antara RM15,000 hingga RM25,000, beliau berkata perkara itu dikesan mula dibawa masuk dari Borneo ke ibu negara dan menjadi ikutan golongan muda berusia lingkungan 20-an hingga 30-an. 

Beliau berkata susulan aduan awam tentang gangguan ketenteraman pada waktu malam, Ops Ekstrem itu tidak hanya terhad di Kuala Lumpur, sebaliknya akan diperluas ke seluruh negara bermula minggu ini. 

JPJ juga, katanya, akan memanjangkan isu pengubahsuaian tersebut kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi mengekang kemasukan komponen haram serta mengambil tindakan terhadap bengkel tidak berdaftar. 

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement