KUALA TERENGGANU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu telah mengeluarkan sebanyak 1,946 saman dalam tempoh 10 hari pelaksanaan Operasi Khas Tahun Baharu Cina 2026 (Ops TBC 2026) yang berakhir semalam.
Pengarah JPJ Terengganu Mohd Zamri Samion berkata ia hasil pemeriksaan ke atas 18,480 kenderaan termasuk kereta, motosikal serta kenderaan bagi perkhidmatan awam dan barangan.
Advertisement
Beliau berkata pihaknya turut mengeluarkan 258 notis arah periksa, notis-notis lain (1,060) dan slip tayar (97) selain menyita 59 kenderaan dalam operasi itu yang dilaksanakan oleh 155 pegawai serta anggota JPJ di seluruh negeri.
"Sebanyak 1,304 daripada 18,480 kenderaan diperiksa telah diambil tindakan atas sembilan jenis kesalahan utama dan teknikal… antara kesalahan yang direkodkan ialah lesen tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, memotong di garisan berkembar, muatan bahaya dan tiada lesen memandu kompeten (CDL)," katanya pada Ops Khas TBC 2026 di Terminal Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu malam tadi.
Mohd Zamri juga berkata sepuluh kematian akibat nahas jalan raya direkodkan sepanjang tempoh Ops TBC 2026, menyaksikan peningkatan empat kes berbanding tahun sebelumnya.
Beliau berkata lapan kematian melibatkan penunggang motosikal dan perkara itu perlu diberi perhatian khusus dari aspek keselamatan serta penguatkuasaan undang-undang.
"Sebanyak 213 kesalahan melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal tidak memakai topi keledar direkodkan dalam Ops TBC 2026... ia meningkatkan risiko kematian jika berlaku kemalangan," katanya.
-- BERNAMA