SEMENYIH: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan kerjasama agensi berkaitan akan memperhebat operasi mengesan majikan yang menggaji pemandu warga asing tanpa kelayakan sah, susulan peningkatan kes melibatkan kenderaan perdagangan yang dipandu golongan itu.
Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata trend kesalahan tetap meningkat meskipun amaran telah lama diberikan supaya hanya pemandu berlesen sah dibenarkan, sekali gus mendorong JPJ mengubah pendekatan dengan turut menyasarkan tindakan terhadap majikan dan bukan hanya pemandu.
Advertisement
“Kerjasama bersepadu antara JPJ, Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan memastikan tindakan bukan sekadar menumpukan kepada pemandu, tetapi turut menjejaki pemilik dan pengurusan syarikat yang melanggar undang-undang.
“Dalam Op Pemandu Warga Asing (PEWA) yang dilaksanakan hari ini, sebanyak 11 lori telah ditahan dan didapati pemandunya adalah warga asing yang digaji majikan tempatan,” katanya pada sidang media operasi itu di sini hari ini.
Beliau berkata kerjasama dengan NFCC membolehkan tindakan diambil terhadap majikan di bawah peruntukan yang lebih luas termasuk elemen kewangan.
“Bidang kuasa NFCC merangkumi pencegahan jenayah kewangan termasuk di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, sekali gus memberi ruang kepada tindakan lebih keras terhadap majikan yang menggaji pemandu warga asing secara tidak sah,” katanya.
Beliau berkata kebanyakan pemandu warga asing terbabit tidak memiliki Lesen Memandu Kompeten (CDL), Lesen Vokasional (GDL) atau Permit Perkhidmatan Awam (PSV), malah mereka tidak pernah diuji atau dilatih sebagai pemandu kenderaan barangan.
“Pemandu tanpa latihan dan kelayakan meningkatkan risiko kemalangan. Kita sudah menyaksikan beberapa kemalangan melibatkan pemandu warga asing yang membawa kepada kecederaan dan kematian. Tindakan ini penting untuk menghentikan kemalangan yang berpunca daripada pemandu tidak berkelayakan,” katanya.
JPJ juga, katanya telah mengenal pasti beberapa kilang yang menggaji ramai pemandu warga asing secara tidak sah dan operasi serbuan akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
“Kita sudah kenal pasti pemandu dan pemilik lori terbabit dan tindakan akan diambil. Kenderaan ini membawa pelbagai barangan termasuk barangan runcit dan air mineral, namun semuanya adalah kenderaan perdagangan,” katanya.
-- BERNAMA